KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) giat berusaha meningkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengubah ‘mindset’ anggota khasnya mengenai hak asasi manusia terutama terhadap individu terlibat dalam perhimpunan awam.
Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Hasmy Agam berkata, meskipun SUHAKAM telah mengadakan program serta kursus dalam modul latihan kepolisan mengenai perkara berkenaan namun masih ada yang tidak mahu mengguna pakai cadangan berkenaan.
“Sebenarnya kami memang ada menjalankan kursus bersama PDRM sama ada di peringkat atasan atau bawahan termasuk latihan.
“Masalahnya kadang-kadang ada di kalangan mereka tidak mengikut cadangan berkenaan kerana kita berasa-kan ‘mindset’ mereka masih lama, iaitu ketegasan mereka semasa zaman darurat atau komunis dahulu.
“Maka saya menganggap ‘mindset’ ini masih lama, malahan SUHAKAM juga telah mengadakan beberapa pendengaran awam mengenai perkara itu dan sejak menjadi pengerusi, dianggarkan tujuh pendengaran awam yang menumpukan pengendalian polis dalam perhimpunan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Media yang dihadiri Naib Pengerusinya Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya SUHAKAM Sarawak Francis Johen Adam di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun kata Hasmy, kini senarionya semakin berubah di mana pihak polis semakin prihatin dengan cadangan pihak SUHAKAM.
Ia termasuk perhimpunan di Sarawak baru-baru ini di mana polis menjalankan tugas mereka dengan konstruktif serta positif selain sikap peserta perhimpunan sendiri yang lebih terkawal.
“Sehubungan itu kerja-sama antara SUHAKAM dan PDRM giat dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha kami mengubah ‘mindset’ polis supaya suatu hari nanti PDRM menjadi salah satu pasukan polis terbaik di wilayah ini.
“Jika kita perhatikan dalam Google sekalipun, dalam senarai pasukan polis terbaik di dunia, PDRM tidak ada,” ujarnya.
Beliau berkata dengan itu diharapkan melalui kerjasama kedua-dua pihak, pihak polis negara akan dapat disenarai paling kurang 50 terbaik dan paling bermakna 10 terbaik.
Hasmy pada masa yang sama memberitahu, selain itu kesedaran masyarakat itu sendiri mengenai hak asasi mereka harus disemai dengan lebih mendalam.
Katanya di Malaysia kini pemahaman mendalam mengenai hak asasi manusia yang sebenar belum mencapai tahap yang baik kerana masih belum mengetahui ia sepenuhnya.
“Daripada sembilan konvensyen antarabangsa utama berkaitan hak asasi manusia, Malaysia hanya mengguna pakai tiga sahaja iaitu Hak Asasi Wanita, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya.
“Sementara enam konvensyen lagi masih dalam kajian dan kini sudah hampir 20 tahun lebih, maka SUHAKAM berusaha mempercepatkan proses kajian supaya Malaysia menerima pakai konvensyen ber-kenaan,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment