Keangkuhan PBB boleh memberi kesan buruk kepada BN : Joseph Tawie


FOKUS SARAWAK: Ketua Menteri Adenan Satem, yang juga merupakan pengerusi pengerusi Barisan Nasional, bersungguh-sungguh mahu menjamin satu lagi penggal pentadbiran lima tahun, sehinggakan dia mahu meletakan hanya calon “boleh menang” dalam pilihanraya negeri akan datang.

Dia mengabaikan bantahan Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP), yang merupakan ahli komponen BN negeri, apabila dia mengumumkan yang lima orang wakil rakyat dari Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) akan mempertahankan kerusi mereka walaupun SPDP mendakwa kerusi itu secara tradisinya diberikan kepada mereka.

Lima wakil rakyat itu memenangi kerusi tersebut ketika mereka masih menjadi ahli SPDP.

Tetapi kini mereka telah membentuk Teras selepas krisis berpanjangan dalam SPDP.

Teras bukanlah parti komponen gabungan BN, tetapi Adenan percaya yang parti baru itu akan memenangi lima kerusi.

Satu kesilapan besar dilakukan oleh parti komponen BN memberikan “kuasa” kepada ketua menteri selaku pengerusi BN negeri untuk memilih calon “boleh menang” di negeri ini kerana ia boleh disalahguna.

Sebelum ini, kuasa diberikan untuk menyokong calon yang dihantar oleh parti komponen supaya mereka boleh menggunakan simbol dacing BN untuk bertanding.

Setiap parti ini akan bertemu dengan perdana menteri yang merupakan pengerusi BN pusat untuk menghantar senarai calon mereka.

Perdana menteri pula hanya memberikan sokongan dan keizinan kepada senarai itu.

Tetapi kini senarai yang dihantar oleh parti komponen BN negeri perlu diluluskan oleh ketua menteri memandangkan perdana menteri telah memberikannya kuasa penuh bukan hanya untuk menyokong senarai tersebut, tetapi juga meluluskannya.



Selepas diluluskan barulah mereka dibenarkan menggunakan simbol dacing dan menerima dana untuk perbelanjaan pilihanraya.

Biasanya, parti-parti ini tidak akan berani membantah calon pilihan ketua menteri walaupun berbeza dengan calon pilihan parti, jika tidak mereka mungkin tidak akan menerima bantuan kewangan yang cukup malah pernah berlaku tidak menerima sokongan jentera kerajaan termasuklah perkhidmatan awam.

Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah dibatalkan pendaftaran menerima kesan buruk kerana menolak untuk menghantar senarai calon mereka untuk diluluskan oleh presiden PBB selaku pengerusi BN negeri.

Menurut bekas presiden PBDS Daniel Tajem, sebelum ini pengerusi BN negeri dan pengerusi BN pusat menyokong nama calon bagi membolehkan mereka menggunakan simbol dacing BN.

Tajem berkata yang sebab mengapa PBDS menolak untuk menghantar senarai calon untuk diluluskan oleh pengerusi negeri, yang juga merupakan presiden PBB, kerana mereka bimbang akan kehilangan identiti dan kuasa sekiranya berbuat demikian.

“Mengapa perlu PBDS dilayan seperti ia hanyalah cawangan bahagian PBB?” soalnya.

PBDS juga bimbang yang ketua menteri mungkin menggantikan calonnya dan menamakan orang lain yang mempunyai hubungan baik dengan PBB tetapi bukan ahli PBDS, sebagai calon.

Penolakan PBDS menaikan kemarahan ketua menteri ketika itu Abdul Taib Mahmud.



Tajem berkata kesan penolakan itu, calon-calon PBDS tidak diberikan bantuan kewangan walaupun mereka menggunakan simbol dacing.

Dalam pilihanraya parlimen 2004, calon-calon mereka dilayan seolah-olah calon “Barisan palsu”.

“Malah mereka meletakan calon bebas menentang kami, yang disokong sepenuhnya oleh jentera kerajaan negeri dan perkhidmatan awam,” kata Tajem, yang pernah dilantik menjadi timbalan ketua menteri di bawah Taib.

Sarawak National Party (SNAP) yang sudah berkubur pula mendapati calon mereka diubah apabila senarai itu dihantar kepada ketua menteri.

Dalam pilihanraya negeri 1996, calon mereka untuk Tasik Biru dan Marudi digantikan dengan calon yang mempunyai hubungan rapat dengan PBB.

Dalam pilihanraya negeri 2006, calon SPDP untuk Bekenu dan Batu Danau juga digantikan dengan calon yang bukan ahli SPDP.

Sekali lagi berlaku dalam pilihanraya negeri 2011, calon SPDP untuk Ba’Kelalan, Nelson Balang Rining, digantikan pada saat-saat akhir oleh calon yang mempunyai hubungan rapat dengan PBB.

Begitu juga, calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk kerusi parlimen Sri Aman dan Lubok Antu digantikan oleh calon lain yang bukan ahli parti.

Presiden PRS James Masing sendiri terkejut dengan penggantian tersebut, tetapi tiada apa yang dia boleh lakukan.

Dia perlu menerima calon yang dicalonkan oleh PBB dan memohon maaf kepada calon yang dicadangkan oleh PRS.

Semua ini dilakukan atas nama calon “boleh menang”.

Dalam pilihanraya parlimen 2013, Perdana Menteri Najib Razak menggunakan alasan ini untuk meng-veto calon yang dicadangkan oleh parti komponen BN yang lain kerana dia mahu memastikan hanya calon “boleh menang” diletakan.

Itu ialah pilihanraya pertama Najib selaku perdana menteri.

Dia dilaporkan berkata yang pilihanraya itu ialah “perangnya” dan dia perlu dibenarkan memilih calon “boleh menang” berdasarkan laporan perisikan yang diberikan kepadanya.

Dia dengan beraninya memberitahu parti komponen BN yang dia tidak mahukan calon kegemaran mereka, tetapi hanya calon boleh menang.

Untuk pilihanraya negeri akan datang, nampaknya Adenan menggunakan strategi yang sama- hanya calon boleh menang perlu diletakan.

Setakat ini dia sudah mengumumkan calon ‘mesra BN’ dari Teras untuk kerusi Tasik Biru, Marudi, Bekenu dan Batu Danau yang selama ini diperuntukan kepada SPDP.

Sudah dijangka, presiden SPDP Tiong King Sing berang, menuduh presiden PBB tidak menghormati hak partinya.

Dia memberikan amaran kekecohan akan wujud dalam gabungan BN sekiranya BN mengabaikan hak SPDP.

Tetapi Adenan, setakat ini, tidak gentar dengan ancaman sebegitu kerana dia mengetahui yang PBB, selaku tulang belakang kerajaan negeri, boleh hidup tanpa SPDP.

Ketua menteri berhak angkuh kerana PBB boleh menjamin menang 35 kerusi sedia ada atau 40 kerusi, sekiranya peningkatan 11 kerusi diluluskan oleh Parlimen.

Tetapi mengabaikan sepenuhnya SPDP boleh memberi kesan buruk kepada BN, kalau diukur kemampuan Tiong untuk bertindak seperti dibuktikan sebelum ini.-The Ant Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget