Bersih 4.0 tuntut negara lebih baik

Penganjur Bersih 4.0 Kuching takut desak Najib letak jawatan, kata Chong

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata tidak ada siapa pun dapat menafikan bahawa perhimpunan BERSIH 4.0 bertujuan menuntut sebuah negara yang lebih baik dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

“Perhimpunan BERSIH 4.0 bukan karnival, di mana peserta datang untuk minum, berpesta dan bergembira.

“Semalam, ribuan peserta duduk di bawah panas matahari untuk menyampaikan mesej, Najib mesti melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tambahnya, salah satu tuntutan rasmi BERSIH 4.0 ialah ‘untuk mempertahankan hak untuk berbeza pendapat’, mendesak Najib letak jawatan adalah hak perbezaan pendapat rakyat.

“Jika perhimpunan BERSIH di Kuching tidak digunakan sebagai platform untuk mendesak Najib letak jawatan, apa tujuan sebenar perhimpunan ini dibuat?” tanya Ahli Parlimen Bandar Kuching itu lagi.

Chong berkata dakwaan mengatakan perhimpunan BERSIH 4.0 dihentikan lebih awal disebabkan tindakan DAP melanggar peraturan ditetapkan polis adalah tidak masuk akal.

Menurutnya, ribuan orang mengambil bahagian berarak sambil melaungkan perkataan ‘Najib Turun’ pada BERSIH 4.0 di Kuching menunjukkan rata-rata rakyat negeri ini mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

“Jika benarlah jawatankuasa penganjur BERSIH 4.0 berkata demikian dan begitu takut mendesak Najib letak jawatan, maka lebih baik tak payah menganjurkannya,” ujarnya.

Mengenai isu beberapa pemimpin DAP menyampaikan ceramah, Chong berkata ia dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Peter John, orang penting yang bertanggungjawab sekitar jam 9 malam, 29 Ogos 2015.

“Terdahulu, Peter John meminta orang ramai datang semula sekitar jam 8 malam, berjanji ada persembahan hiburan tetapi apabila kami datang semula, tidak ada program rasmi berlangsung.

“Kami dimaklumkan bahawa sistem PA (siar raya) yang digunakan pada sebelah tengah hari itu telah diambil balik oleh kontraktor diurus oleh PKR. Disebabkan itu program seterusnya tidak dapat diteruskan.

“Selepas kira-kira sejam berkeliaran di padang, ramai mula berasa bosan dan mula meninggalkan lokasi.

“Ramai yang datang berjumpa dengan wakil rakyat kami meminta memberi ceramah memandangkan kami ada pembesar suara,” jelasnya.

Tambah Chong, DAP tidak akan berceramah jika tidak mendapat kebenaran daripada pengacara majlis.

Bagaimanapun pengerusi penganjur BERSIH 4.0 Kuching Nicholas Mujah terdahulu menafikan keputusan untuk menghentikan perhimpunan itu adalah ekoran pemimpin DAP yang tidak mengikut arahan yang ditetapkan.

Sebaliknya menurut Mujah, sebab utama perhimpunan ini dihentikan adalah berpunca daripada masalah komunikasi serta faktor keselamatan peserta terutama kanak-kanak.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget