Tugas rakyat memastikan negara bebas korupsi


BERSIH 4: Dia mencuri perhatian dua hari berturut-turut- mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lelaki yang sepanjang 22 tahun pemerintahannya didakwa menghancurkan institusi demokratik negara.

Institusi sama yang kini dakwanya disalahguna oleh Perdana Menteri Najib Razak, dengan skandal “derma” RM 2.6 bilion.

Ketika muncul buat kali kedua di perarakan Bersih 4, Mahathir diserbu peserta perarakan dan media di Pasar Seni.

Pada hari pertama, dia membuat kemunculan singkat berhampiran Dataran Merdeka dan memberitahu peserta perarakan supaya “teruskan”.

Di sidang media itu, Mahathir mendakwa yang ketika zaman pemerintahannya, masih ada ruang untuk rakyat menyuarkan bantahan mereka.

Ramai yang masih belum melupakan tindakan silamnya tetapi mereka masih menyambut dengan berhati-hati sokongannya untuk masa hadapan.

“Ada pihak yang sekarang mengkritik saya kerana menyokong Bersih.

“Bersih adalah rakyat. Bukan semua memakai kuning, ramai juga yang tidak memakai baju kuning,” katanya.

Dia mengulangi dakwaan terhadap Najib dan berkata tiada lagi ruang kini yang diperuntukan undang-undang.

“Kita perlu menyelesaikannya melalui demonstrasi. Kerana itulah saya disini. Jika ada pasukan khas yang menyiasat di mana duit itu, saya tidak akan berada di sini,” tambahnya.

Dia menyamakan situasi semasa Malaysia dengan Filipina pada era 1960-an sehingga 1980-an di bawah pemerintahan Ferdinand Marcos.

“Ia adalah cara terakhir (demo jalanan). Ketika Marcos memerintah, rakyat menyingkirkannya melalui demo,” kata Dr Mahathir.

Di rantau ini, bekas presiden Indonesia Soeharto juga disingkirkan oleh kebangkitan rakyat pada tahun 1998 daripada 30 tahun pemerintah regim Order Baru.

Berkenaan langkah seterusnya selepas berakhirnya perarakan 34 jam ini, Mahathir berkata yang rakyat perlu mendesak wakil rakyat mereka untuk menyokong undi tidak percaya kepada Najib, sebaik sahaja Parlimen mula bersidang pada bulan Oktober nanti.

“Anda perlu beritahu MP anda supaya tidak menyokong Najib. Sokong MP anda, beritahu mereka ‘Jika anda tidak menyokong usul tidak percaya, kami tidak akan memilih anda lagi sebagai MP’.

“Ini adalah tugas anda selaku rakyat untuk menjadikan negara ini bebas korupsi,” katanya.

Sikap berhati-hati rakyat kepada sokongannya bersebab.

Lagipun Mahathir juga mengatakan yang dia tidak kisah dengan permintaan lain yang dituntut Bersih, termasuk melakukan perubahan menyeluruh, tetapi mahukan perdana menteri sekarang untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun tidak guna Najib berundur kerana kunci utama masa hadapan yang lebih baik terletak kepada perubahan sepenuhnya institusi demokratik.

Jika tidak, seperti yang dikatakan oleh Mahathir sendiri, institusi itu akan sekali lagi “disalahguna” oleh pemimpin seterusnya dan rakyat akan menyedari mereka terjebak lagi dalam situasi yang dialami kini.-The Ant Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget