Beri undi majoriti besar kepada BN


ENGKILILI: Rakyat khususnya pengundi harus menzahirkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dengan memberikan undi kepada calon mereka dengan majoriti lebih besar.

Ini kerana dengan majoriti lebih besar menjadikan suara wakil rakyat BN lebih dominan untuk memperjuangkan hak rakyat yang diwakili kelak terutama membabitkan isu berkaitan negeri ini di peringkat pusat.

“Hanya apabila suara kita kuat maka apa yang kita perlukan terutama membabitkan permohonan membabitkan pembangunan segera didengari, maka itu terjemahkan sokongan anda ke dalam peti undi yang diwakili calon BN,” kata Dr Johnical Rayong Ngipa.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Alet Junit, Sedarat Panjai, Lubok Antu di sini semalam.

Tambahnya, dengan gaya kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang cukup mengambil berat setiap permasalahan rakyat terutama penduduk di luar bandar, menjadikan hanya BN dapat dijadikan sandaran sebagai penawar permasalahan rakyat.

“Justeru berilah peluang kepada beliau (Adenan) untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negeri ini untuk penggal seterusnya dengan majoriti ahli Yang Berhormat BN lebih banyak,” katanya.

Ketika ini ujarnya, sekali pun Adenan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan negeri kira-kira 18 bulan namun pencapaian yang dilakarnya cukup banyak, antaranya memerangi pembalakan haram serta membekukan pemberian lesen baharu balak, penurunan tarif elektrik, penghapusan tol selain kini sedang berunding dengan Petronas untuk meningkatkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Sehubungan itu, Dr Rayong mengajak rakyat khususnya pengundi di DUN Engkilili agar sentiasa bersama beliau yang akan mempertahankan konstituensi berkenaan pada pilihan raya yang dijadual sebelum Jun tahun depan.

“Kepada mereka yang menentang kerajaan sebelum ini saya mahu anda pulanglah ke pangkuan BN yang tidak pernah melupai anda dan akan melakukan yang terbaik dalam merealisasikan impian sekali pun bukan semua dapat ditunaikan segera,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu pengundi tidak terpengaruh dengan dakyah mendakwa Parti Rakyat Bersatu (UPP) bukan sebahagian keluarga besar BN.

“Itu pembohongan yang dilemparkan pendekar kedai kopi dan mereka bercakap ikut mulut sahaja.

“Jika saya bukan wakil BN bagaimana saya boleh mengagihkan pembangunan di DUN ini selain geran MRP…lihat sahaja pada majlis ini saya mengagihkan cek bernilai hampir RM100,000 dan membuktikan saya bukan seperti yang mereka dakwa,” katanya.

Malah katanya, Adenan bakal berkunjung ke pekan Engkilili untuk merasmikan Pesta Engkilili serta Pejabat Daerah Engkilili pada 20 September nanti.

“Sehubungan itu saya mahu anda semua dapat turun beramai-ramai memeriahkan pesta ini yang berlangsung dari 18 hingga 20 September selain menyambut kedatangan Ketua Menteri dan rombongan,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri wakil komponen BN lain, penghulu, kaunselor serta tuai-tuai rumah dari sekitar DUN Engkilili, Dr Rayong menyampaikan cek MRP kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Alit bernilai RM7,000 manakala Persatuan Wanita menerima RM5,000.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget