Lebih banyak pembangunan akan dibawa ke semua sekolah DUN Engkilili, kata Dr Rayong


ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berikrar akan melakukan yang terbaik dengan membawa lebih banyak pembangunan ke semua sekolah di DUN yang diwakilinya itu.

Menurutnya, sejak menyandang wakil rakyat di konstituensi Engkilili beliau fokus untuk meningkatkan kualiti pendidikan kerana percaya hanya menerusi pendidikan dapat mengangkat martabat serta mengeluarkan rakyat di luar bandar dari kemiskinan.

“Sejak menjadi wakil rakyat di sini, banyak sekolah sudah saya lawati untuk menyelami sendiri permasalahan yang dihadapi guru-guru dalam mendidik anak-anak. Dan lawatan itu tidak terhenti setakat ini kerana saya akan berbuat demikian selagi khidmat diperlukan.

“Kita tidak mengetahui masalah yang dihadapi pihak sekolah terutama para guru selagi kita tidak bertemu muka dengan mereka. Justeru saya mengambil langkah turun padang bertemu mereka dan itulah yang saya lakukan sejak dahulu lagi,” katanya sambil berharap agar masyarakat di Engkilili terutama para ibu bapa menyokong langkah beliau itu.

Dr Rayong yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu (UPP) berkata demikian semasa mengadakan kunjungan singkat ke Sekolah Rendah (SK) Nanga Enteban, di Skrang di sini kelmarin.

Tambahnya, adalah menjadi harapan beliau dan UPP untuk memberi fokus lebih kepada bidang pendidikan kerana sedar hanya menerusi pendidikan dapat mengubah diri dan masa depan pelajar.

“Malah, kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan KPI yang tinggi dalam bidang pendidikan dengan menyasarkan Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2020.

“Dalam merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan menyasar untuk melahirkan kira-kira 1.8 juta tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang terdiri daripada belia di negeri dan negara ini amnya,” katanya.

Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan ujarnya harus bertindak dari sekarang kerana ketika kini kita masih bergantung kepada tenaga mahir yang dibawa dari negara luar.

“Ini sesuatu yang merugikan kerana kepakaran tersebut kelak akan dipindah ke negara asal dan kita terpaksa membawa tenaga kerja mahir baharu. Ini harus dihentikan dengan melatih anak-anak muda kita sendiri,” tegasnya.

Bagi menyahut cabaran itu, UPP katanya telah melancarkan tabung pendidikan sendiri yang mana setakat ini sudah mengumpul dana berjumlah RM30 juta dan ia bakal mencapai sasaran RM50 juta dalam waktu terdekat.

“Kami sebagai sebuah parti politik harus turut menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan negara dan salah satunya menerusi pendidikan. Oleh yang demikian kami menyediakan tabung pendidikan sendiri yang dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 21 Ogos lalu serentak dengan ulang tahun pertama penubuhan UPP.

“Sehubungan itu, semua pelajar di negeri ini dipelawa memohon dana itu bagi menampung pengajian mereka dengan dana diberi secara ‘one off’ dengan permohonan boleh diajukan terus kepada sekretariat parti,” jelasnya.

Terdahulu, semasa mengadakan kunjungan ke SK Nanga Enteban, Dr Rayong menyampaikan cek bernilai RM20,000 sebagai dana untuk membaik pulih dewan sekolah selain menampung perbelanjaan lain.

“Gunakan wang itu dengan meningkatkan kemudahan di sekolah ini kerana bila sekolah cantik dan ceria sudah tentu pelajar mempunyai minat untuk ke sekolah dan guru-guru pula teruja mendidik pelajar,” katanya sambil berharap pemberian dana seperti itu dibalas dengan kejayaan cemerlang para pelajar.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget