Yakin pertahan Ngemah, Machan

KANOWIT: Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) dan Kemajuan Tanah, Datuk Gramong Juna melahirkan keyakinan Barisan Nasional (BN) mampu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah dan Machan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini kerana, katanya, hubungan antara parti komponen BN di Kanowit adalah sangat akrab dan boleh bekerjasama lebih-lebih lagi dalam menjalankan gerakan jentera parti.

“Selain itu, hubungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Alexander Vincent, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan saya selaku ADUN Machan adalah sangat baik dan tiada bermasalah.

“Kami sering bekerjasama antara satu sama lain. Ini memberi keyakinan bahawa BN mampu mempertahankan kerusi di Machan dan Ngemah pada PRN nanti,” katanya ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.44 Cawangan Machan di Pekan Kanowit, petang semalam.

Hadir sama Ketua Pengerakan Wanita PBB Cawangan Machan Dato Catherine Gramong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri serta ahli-ahli parti yang lain.

Gramong yang juga Pengerusi PBB Cawangan Machan berkata, PBB sudah bersedia untuk menghadapi PRN akan datang dan jenteranya telah digerakkan dari awal lagi.

Jelasnya, mereka sering turun padang dan bertemu dengan para pengundi setiap masa.

“Sejak berkhidmat sebagai ADUN Machan berpuluh-puluh tahun lalu, saya perhatikan tiada isu serius dalam politik di Machan setakat ini. Saya serta jentera parti juga rapat dengan pengundi di Machan.

“Kalau adapun, isu tempatan sahaja yang boleh kita selesaikan. Berkenaan dengan tanah-tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) ia sudah mula difahami rakyat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat di Machan sudah tahu menilai dan membezakan agenda pembangkang dan ini membolehkan rakyat di kawasannya menolak parti itu pada PRN akan datang.

Bercakap mengenai Pusat Khidmat PBB N.44 Cawangan Machan, ia akan digunakan untuk bilik gerakan parti dan tempat rakyat menyuarakan apa juga masalah mereka.

DUN Machan mempunyai seramai 10,972 pengundi dan mempunyai tujuh pusat mengundi iaitu Majau, Bukong, Lutong, Kanowit, Lukut, Peranan dan Poi.

Selain itu, ia mempunyai 70 peratus pengundi berbangsa Iban, 20 peratus (Cina), dua peratus (Melayu/Melanau) dan selebihnya lain-lain.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget