Peniaga kecil terharu keprihatinan KM

Isu caj lot niaga, maklum balas segera buktikan Adenan ambil berat masalah rakyat

KUCHING: Sekumpulan peniaga kecil yang mencari rezeki di tapak pesta-pesta seluruh negeri amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem apabila keluhan mereka didengari dan diambil tindakan segera.

Jurucakapnya, Iskandar Dollah mewakili Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Bhd, Persatuan Jelajah Usahawan dan Persatuan Penjaja Cina berkata, tindakan mereka mengadakan protes aman baru-baru ini susulan sewa lot niaga yang terlalu mahal mendapat maklum balas daripada Ketua Menteri begitu cepat.

“Maklum balas daripada Ketua Menteri yang begitu cepat membuatkan kami berasa terharu dan menunjukkan beliau amat mengambil berat masalah rakyat terutamanya kami yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Kumpulan peniaga itu pada awal minggu ini meluahkan rungutan apabila dikenakan caj RM200 berbanding RM50 pada tahun lepas bagi setiap lot niaga di tapak-tapak pesta, termasuk Pesta Lundu yang berlangsung sekarang hingga 31 Ogos ini.

Mereka yang terdiri daripada 150 peniaga kecil berpendapat, dengan keadaan ekonomi tidak menentu selain kos pengangkutan tinggi bagi mereka bergerak, kenaikan melampau sangat membebankan khasnya mereka yang berniaga kecil-kecilan.

Justeru, buntu dengan masalah itu, mereka meminta bantuan Ketua Menteri menyelesaikan masalah itu.

Pada hari berita tersebut disiarkan di Utusan Borneo dan The Borneo Post, iaitu 27 Ogos, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh terus mengadakan sidang media sebagai respons terhadap rayuan kumpulan peniaga itu.

Soon Koh berkata, berkuat kuasa serta-merta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak dibenarkan mengenakan caj lebih RM50 terhadap peniaga kecil-kecilan yang berniaga sementara pada sesuatu pesta.

Iskandar berkata mereka maklum, pengumuman Soon Koh itu adalah susulan keprihatinan Adenan yang mahu masalah itu diselesaikan segera.

“Alhamdulillah, Ketua Menteri amat memahami masalah kami. Kami akan berdoa dan akan terus menyokong YAB KM sebagai pemimpin,” katanya.

Kumpulan peniaga kecil-kecilan itu juga mengucapkan terima kasih kepada Utusan Borneo dan The Borneo Post kerana menyiarkan rungutan mereka di akhbar.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget