Penganjur turut melahirkan minat menggunakan Pusat Rekreasi dan Makanan Song Kheng Hai sebagai lokasi apabila gagal mendapat kebenaran menggunakan Padang Merdeka kerana dalam pembaikan.
Lokasi itu selama ini digunakan untuk pelbagai perhimpunan tanpa sebarang insiden selain mendatangkan keuntungan kepada pemilik gerai.
Setakat ini, jawatankuasa BERSIH 4.0 mengemukakan 10 surat meminta kebenaran pelbagai tempat di Kuching menyokong perhimpunan itu.
Pengerusi penganjur, Nicholas Mujah Ason berkata pihaknya menerima makluman daripada Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek bahawa polis tidak melarang mengadakan perhimpunan aman kerana ia hak demokrasi.
“Majlis Peguam sudah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak wajar dihalang. Oleh itu, kita minta dua majlis bandar raya di sini menyediakan lokasi bagi kita menjalankan hak demokrasi itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Mujah menambah, orang awam kini berpendapat majlis tempatan cuba menghalang acara itu dilakukan dengan mengawal harta di bawah tadbiran mereka.
Perkara itu seolah-olah dipengaruhi politik tidak harus berlaku kerana harta diuruskan majlis tempatan adalah untuk seluruh rakyat Sarawak.
“Adakah rakyat Sarawak tidak mempunyai hak demokrasi seperti termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan?
“Kita percaya tanggungjawab pihak bandar raya wajar membenarkan kita menggunakan tempat awam tersebut.
“Lagipun, kita selaku orang awam berhak menggunakan Tebingan Kuching, Resevoir Park dan Pusat Rekreasi dan Makanan Song Kheng Hai setiap minggu tanpa meminta kebenaran atau takut ditangkap,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment