Sarawak alami pembangunan pesat selepas merdeka

Pembangunan dinikmati rakyat di bandar, luar bandar selepas bebas daripada cengkaman penjajah

LIMBANG: Sarawak mengalami transformasi pembangunan pesat yang dinikmati rakyat di segenap kawasan bandar dan luar bandar selepas bebas daripada cengkaman penjajahan kuasa luar lebih 100 tahun lalu.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pembangunan seimbang berlaku di seluruh pelosok kawasan.

Katanya meskipun terletak di kawasan utara Sarawak, Limbang turut berasa gelombang pembangunan yang berjaya mengubah landskap serta sosioekonomi rakyat secara keseluruhannya.

“Perubahan pembangunan kini dirasai rakyat di seluruh kawasan bandar dan luar bandar sejak bebas daripada penjajahan 100 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pesta Limbang dan Regata Limbang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Limbang semalam.

Awang Tengah menjelaskan, gelombang pembangunan turut dinikmati penduduk di wilayah paling utara negeri ini.

Turut hadir Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Slyvester Entri Muran, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus,Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Maria Hasman.

Awang Tengah berkata rakyat harus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Adenan berjaya membawa satu definisi baharu dalam pentadbirannya yang mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan.

“Pada masa sama Adenan menunjukkan komitmen berterusan untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata lagi sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi amat penting bagi menentu hala tuju dan masa depan negeri ini.

Mengenai Pesta Limbang, katanya ia merupakan platform mengukuh kerjasama dan hubungan antara kaum di negeri ini.

“Pesta ini bukan sekadar untuk kita bersuka ria, tetapi ia penting dalam memastikan keharmonian dan kerjasama semua peringkat akan diterus dan dipertingkatkan,” katanya.

Sebanyak 36 penyertaan akan memeriahkan acara Regata Limbang yang bukan sahaja menyaksikan Sungai Limbang berkocak lagi tetapi juga memburu ganjaran dan gelaran Raja Batang Limbang 2015.

Pada program itu, ketua masyarakat di bahagian ini berpeluang merasai keunikan pengangkutan sungai sambil membawa cederamata untuk diserahkan kepada tetamu kenamaan sebagai simbol perasmian program tersebut.

Selain ketua masyarakat, pelbagai etnik mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing pada program sama.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget