AirAsia X bayar servis palsu RM7j



KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd. menyedari telah melakukan pembayaran bagi perkhidmatan yang tidak wujud atau palsu bernilai RM7 juta.

AirAsia X berkata, juruaudit dalaman dan luaran baru-baru ini mendapati bahawa bayaran tertentu dibuat kepada penyedia perkhid­matan di antara 2010 hingga 2014 untuk perkhidmatan yang kini adalah palsu.

Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, berikutan penemuan penyelewengan itu, lembaga pengarah mencadangkan jawatankuasa audit me­lantik PwC Consulting Services Sdn. Bhd. (PwCCS), untuk menjalankan audit forensik.

Ujar syarikat itu lagi, PwCCS te­lah mengarahkan pihak pengurusan untuk memastikan terdapat semua dokumen berkaitan dan kakitangan yang terbabit untuk dikaji serta melaksanakan sesi temu bual.

“Sepanjang audit forensik itu, juruaudit PwCCS mendapati sebanyak 24 pembayaran berjumlah RM7.01 juta telah dibuat kepada penyedia perkhidmatan bagi perkhidmatan palsu.

“Pembayaran ini telah diluluskan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan bahagian pengurusan dalam AirAsia X,” katanya dalam makluman tersebut baru-baru ini.

Berdasarkan penemuan audit forensik, penyelewengan itu telah dihadkan kepada jumlah RM7.01 juta.

Menurut AirAsia X, lembaga pengarahnya berpendapat bahawa jumlah dalam penyelewengan itu tidak mempunyai kesan ketara terhadap kewangan atau operasi syarikat.

Syarikat justeru mengambil beberapa langkah untuk melindungi aset dan kepentingannya termasuk mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan boleh diambil syarikat untuk mendapatkan semula kerugian dan membuat laporan polis.

Selain itu, AirAsia X juga sedang mengkaji proses kawalan dalaman semasa untuk memastikan bahawa urus niaga yang sama tidak akan berulang lagi.

Berita itu menyebabkan harga saham syarikat menurun sejak penyenaraian, jatuh sebanyak 87.2 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu RM1.25 kepada 16 sen pada Jumaat lalu.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget