Hujah bernas tangkis tohmahan pembangkang

Ketua masyarakat perlu menyebar, perjelas dasar dan polisi k’jaan kepada penduduk setempat: Asfia

SOKONGAN BERTERUSAN: Asfia (tengah) bersama (dari kiri) Hamdiah,
 Husini, Hasbi, Dr Abdul Rahman dan Paulus pada majlis tersebut, semalam.


LIMBANG: Ketua masyarakat dan ketua kaum dilantik sebagai pemimpin peringkat akar umbi berperanan penting menyebar dan menerangkan dasar dan polisi kerajaan kepada anak-anak buah di kawasan masing-masing.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata ketua masyarakat tidak sepatutnya dipengaruhi, sebaliknya mereka mempengaruhi kerana jika dipengaruhi, jentera kerajaan akan lemah.

Katanya, sebagai pemimpin peringkat akar umbi mereka mempunyai tanggungjawab mempengaruhi rakyat dan menerangkan segala dasar dan polisi kerajaan.

“Ketua masyarakat juga mempunyai kemahiran mematahkan segala tuduhan pembangkang dan menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan,” katanya pada Seminar Kepimpinan Akar Umbi Ketua-Ketua Masyarakat Negeri Sarawak Bahagian Limbang, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Penolong Pengarah, Unit Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri, Husini Bakir dan Pegawai Daerah Limbang, Hamdiah Bakir.

Asfia berkata, sebagai pemimpin ketua masyarakat perlu mengutarakan hujah bernas menangkis segala tohmahan disebarkan pembangkang.

“Ada pembangkang menuduh kerajaan cuba merampas tanah rakyat. Sebaliknya, ketua masyarakat perlu bangun dan mengutarakan hujah kalau betul pembangkang tidak merampas tanah rakyat seinci pun bermakna tiada pembangunan dijalankan di bawah pembangkang,” tambahnya.

Ini kerana, katanya, setiap pembangunan dijalankan membabitkan pembinaan kemudahan asas, jalan raya, hospital, kedai dan pembangunan lain memerlukan tanah.

Selain itu, kerajaan juga membayar pampasan kepada pemilik tanah sekiranya tanah digunakan untuk tujuan pembangunan.

Dalam pada itu, Asfia memberitahu DUN Sarawak merupakan DUN tertua dan terbesar di Malaysia.

“Pertambahan 11 kerusi DUN menjadi 82 kerusi DUN baharu akan memastikan kawasan luar bandar dapat ditadbir dengan lebih baik dan sistematik berbanding kawasan luas sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, beliau mahu ketua-ketua masyarakat terus memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Adenan akan terus memperjuang hak dan kepentingan rakyat Sarawak selain melaksanakan pelbagai pencapaian cemerlang mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat negeri ini,” jelasnya. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget