MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Ba’Kelalan semalam menafikan ada menyenaraikan nama atau melantik Fabian Sigar sebagai ‘calon berpotensi’ mewakili parti itu mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’Kelalan seperti disiar dalam akhbar pada Selasa lalu.
“Kami menyangkal dakwaan tersebut kerana SPDP Ba’Kelalan atau peringkat presiden parti, Datuk Seri Tiong King Sing belum membuat sebarang keputusan.
“Atau belum memuktamad siapa layak menjadi calon bertanding di kerusi itu kelak bagi mewakili parti,” kata jurucakap parti dalam kenyataan media dikeluar di sini, semalam.
SPDP Ba’Kelalan dalam kenyataannya, turut mempertikai status keahlian Fabian Sigar dalam parti itu.
Sebaliknya menurut mereka, SPDP Ba’Kelalan dalam mesyuarat peringkat bahagian mencapai satu usul menyenaraikan tiga nama berpotensi bertanding di kerusi berkenaan dan akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk keputusan akhir.
“Tiga nama telah diputuskan pada mesyuarat parti di peringkat bahagian baru-baru ini. Mereka ialah Pengerusi SPDP Ba’Kelalan Datuk Nelson Balang Rining yang juga setiausaha agung parti.
“Calon kedua ialah Setiausaha SPDP Ba’Kelalan Barry Baru Sigar yang juga timbalan presiden parti dan ketiga Sam Laya, ahli jawatankuasa parti yang juga peguam berpangkalan di Miri,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut, tiada langsung nama Fabian Sigar disebut-sebut atau berada dalam senarai, malah beliau tiada sumbangan kepada penduduk di Ba’Kelalan dan masyarakat Lun Bawang, khususnya.
“Berbanding tiga calon pilihan parti, Fabian tidak begitu dikenali dan tidak popular di kawasan Long Sukang hingga ke atas, Long Semadoh dan Ba’Kelalan sendiri.
“Malah kebanyakan masa beliau berada di Kuching menyebabkan dia dianggap ‘orang asing’ bagi penduduk tempatan,” kata jurucakap itu lagi.
Menurut kenyatan itu, Fabian hanya dilihat kelibatnya di Lawas, sejak akhir-akhir ini sahaja bagi melobi kerusi tersebut berbanding Nelson yang kerap berada di Lawas dan Ba’Kelalan.
Malah katanya, Nelson menubuhkan pusat khidmat membolehkan rakyat mengemuka masalah dan menemui beliau atau mana-mana ahli parti bagi mengadu masalah dan pelbagai perkara berkaitan.
“Nelson juga kerap turun padang, mendengar masalah rakyat dan membantu mereka menyelesaikan pelbagai perkara dan isu termasuk menunjukkan komitmen tinggi berkhidmat kepada rakyat, menjadikan beliau pilihan pertama kami,” kata kenyataan itu lagi.
Parti itu yakin pengundi di Ba’Kelalan kini semakin bijak dan lebih tahu siapakah calon layak dan berharap pemimpin tertinggi parti dan Barisan Nasional (BN) mempertimbang suara dan pilihan rakyat yang mengundi.
- Borneo Post Online
Post a Comment