Bumbung lebuh India lewat, DBKU digesa tekan kontraktor


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diminta memberi tekanan kepada kontraktor bertanggungjawab agar menyiapkan projek laluan berbumbung Lebuh India yang lewat daripada jadual asal.

Presiden Kesatuan Pedagang Lebuh India Kuching (KISMA) Datuk Wee Hong Seng berkata, bagi tujuan itu persatuan akan mengemukakan surat dengan tandatangan para peniaga terbabit kepada Datuk Bandar dan Pengarah DBKU.

“Persatuan perlu bertegas dalam hal ini kerana kami telah banyak menderita dengan tertangguhnya projek ini yang mengikut jadual asal seharusnya siap sebelum Hari Raya puasa lalu iaitu Jun.

“Perkara terakhir akan persatuan lakukan ialah mengemukakan surat yang ditandangani semua pedagang atau ahli kepada Datuk Bandar dan Pengarah DBKU bagi menyuarakan kebimbangan kami dengan kelewatan pelaksanaan projek ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Menurut Wee yang juga Ahli DBKU, hasil rundingan dengan kontraktor, difahamkan jadual baharu projek itu siap ialah pada penghujung Januari 2016.

Tambahnya, projek bernilai kira-kira RM4.3 juta tersebut yang mula dilaksanakan Januari 2015 ketika ini siap 80 peratus dan baki 20 peratus lagi adalah kerja-kerja pemasangan bumbung.

Kontraktor, katanya, sering menjadikan hujan sebagai alasan mereka tidak boleh melakukan pemasangan bumbung, namun berdasarkan pemerhatiannya pekerja bertugas ketika cuaca baik sangat sedikit.

“Maknanya, kontraktor tiada niat untuk menyiapkan projek ini dengan segera. Kalau sebelum ini keadaan tapak pembinaan menjadi alasan, sekarang masalah itu sudah selesai kerana bahagian terakhir hanya memasang bumbung.

“Jadi surat yang dikemukakan kepada DBKU adalah tanda amaran kepada kontraktor dan menuntut DBKU memberi tekanan kepada kontraktor tersebut agar menyiapkan projek itu selewat-lewatnya Januari 2016,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, KISMA menyerah sepenuhnya kepada DBKU untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas kontraktor jika gagal menyiapkan projek berkenaan pada tarikh baharu yang telah ditetapkan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget