Permohonan 683 guru dari Semenanjung berpindah keluar dari negeri ini pada 2016 telah dilulus
KUCHING: Sesi pertukaran guru bagi 2016 menyaksikan ramai guru dari Semenanjung Malaysia berpindah keluar dari Sarawak.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan permohonan 683 guru sekolah rendah dan menengah yang berasal dari Semenanjung Malaysia berpindah keluar dari negeri ini.
Menurutnya 683 guru berkenaan memilih kembali mengajar di negeri sendiri di Semenanjung Malaysia manakala selebihnya bertukar ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran 2016, seramai 796 guru memohon bertukar keluar dari Sarawak dan telah diluluskan oleh KPM dan daripada jumlah itu 683 adalah guru yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
“Manakala jumlah guru yang berasal dari Sarawak yang memohon bertukar ke Sarawak sangat sedikit iaitu tiga orang, 36 memohon berpindah ke Semenanjung dan selebihnya (22) ke Sabah,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Fatimah berkata meskipun jumlah guru yang berasal dari Sarawak berpindah semula ke negeri ini tidak ramai, ia merupakan langkah permulaan ke arah nisbah 90:10 iaitu 90 peratus guru mengajar di Sarawak adalah anak tempatan dan 10 peratus lagi berasal dari negeri lain.
“Usaha KPM ini adalah untuk seluruh Malaysia. Ia bukan sahaja membantu menyelesaikan isu suami isteri yang terpisah tempat bertugas, ia langkah ke arah 90:10,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid iaitu KPM telah meluluskan 1,848 permohonan bagi fasa pertukaran guru mengikut pasangan masing-masing.
BERNAMA memetik Mahdzir sebagai berkata keutamaan pertukaran tersebut diberikan kepada pasangan yang mempunyai rekod tempoh berjauhan melebihi empat tahun ke atas.
“Daripada 7,000 memohon, kita telah bersetuju membuat pertukaran sebanyak 1,848 guru untuk kembali bersama pasangan masing-masing sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak.
“Kita mengambil kira berapa lama mereka ini telah berjauhan dan kita juga ambil kira elemen kemanusiaan kerana kalau ikutkan sebenarnya pemilihan ini sudah penuh tetapi atas dasar kemanusiaan kita laksanakannya,” jelas beliau.
- Borneo Post Online
Post a Comment