Lebih banyak perjanjian konsesi bebankan rakyat zaman Najib


KUALA LUMPUR : Kerajaan akan terikat dengan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat pada era pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan dijangka menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi berbanding pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi, jika tidak dibendung.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertanggungjawab dalam urusan penswastaan projek-projek kerajaan.

“Umum mengetahui Najib telah menubuhkan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di bawah JPM yang bertanggungjawab mempermudahkan penswastaan projek-projek kerajaan melalui konsep konsesi ini.

“Saya telah dedahkan sebelum ini bagaimana sebelum ini kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kota Samarahan (Sarawak), Pasir Gudang (Johor), Selandar (Melaka), Puncak Alam (Selangor) dan Tapah (Perak) telah diswastakan melalui perjanjian konsesi selama 23 tahun,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Beliau turut mendedahkan mengenai rundingan penswastaan Hospital UiTM Puncak Alam melalui konsep konsesi yang dijangka menelan belanja berkali ganda mahal berbanding kos pembinaan.

“Itu tidak termasuk perjanjian konsesi bagi lebuhraya baru seperti EKVE, SUKE, WCE dan lain-lain serta hospital baru.

“Kita tidak tahu berapa banyak kemudahan kerajaan seperti balai polis, hospital, markas tentera dan lain-lain secara sembunyi telah diswastakan melalui konsep konsesi di bawah pentadbiran Najib,” kata Rafizi.

Menurut beliau, sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, KEADILAN telah mencadangkan langkah-langkah untuk melindungi kepentingan rakyat.

“Penubuhan sebuah Suruhanjaya Perjanjian Awam ‘Public Agreements Commission’ untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam dan memutuskan cadangan-cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat dilindungi.

“Berdasarkan laporan dan cadangan Suruhanjaya Perjanjian Awam itu, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang konsesi untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat,” jelasnya.

Menurut Rafizi lagi, sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya oleh badan-badan kerajaan (seperti Plus dan Prolintas) atau saham syarikat ini turut dipegang oleh badan-badan perlaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain.

“Sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi ini agar diterima oleh syarikat berkenaan. Tetapi, cadangan ini tidak sedikit pun diendahkan oleh pentadbiran Najib,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi menyalahkan pentadbiran Mahathir sebagai punca kerajaan terikat dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang membebankan rakyat. - Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget