Kenaikan harga barang, perkhidmatan di luar kawalan kerajaan: Noroden


KUCHING: Kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku di negara ini ketika ini adalah di luar kawalan kerajaan kerana disebab faktor global.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata kejatuhan harga minyak mentah petroleum dunia dan kelemahan nilai ringgit ketika ini memberi impak ketara kepada harga barang di pasaran.

Malangnya ujar beliau, perkara itu sukar difahami rakyat menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menuding jari kepada kerajaan.

“Memang tidak dapat dinafikan sebahagian barang mengalami kenaikan harga dan ia amat ketara selepas kejatuhan harga minyak mentah petroleum dan kelemahan nilai ringgit.

“Namun perkara ini susah difahami rakyat, kerana apa yang berlaku memang rumit tetapi ia di luar kawalan kerajaan di seluruh dunia.

“Tidak ada kerajaan secara sengaja mahu menyusahkan rakyat seperti dilempar oleh pihak tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krimas Peringkat Kebangsaan 2015 di Pasar Raya Besar Giant Kota Padawan.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashad Md Hanipah.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata menyedari beban kos sara hidup ditanggung rakyat ketika ini, kerajaan menerusi agensi berkaitan melaksanakan banyak inisiatif antaranya Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, Program Diskaun Kembali ke Sekolah dan pemantauan harga yang berterusan dilakukan oleh KPDNKK.

Di peringkat kerajaan negeri pula, katanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah melaksanakan lebih kurang 50 keputusan dasar bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat sejak menerajui kepimpinan negeri kurang dua tahun.

Sebagai contoh jelasnya, kerajaan negeri menghapuskan semua tol, menambah RM50 bagi setiap penerima bantuan kebajikan mulai 1 Januari 2016, mengurangkan tambang feri dan menurunkan tarif elektrik.

Semua itu tegasnya, jelas menunjukkan komitmen kerajaan menerusi agensi-agensi tertentu membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Namun perkara paling penting rakyat selaku pengguna harus bersabar dan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani kenaikan harga barang serta memperjuangkan hak sebagai pengguna.

“Laporkan kepada KPDNKK kalau ada ciri-ciri penipuan, cetak rompak, penyeludupan termasuk manipulasi harga barang,” katanya sambil menambah, tanpa kerjasama itu semua usaha kerajaan memperjuangkan hak rakyat sia-sia.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget