Program Sayang 1Samariang bantu keluarga kurang mampu


KUCHING: Musim persekolahan bakal bermula beberapa hari lagi pastinya membuat ibu bapa sibuk membuat persiapan membeli barangan keperluan anak.

Namun bukan semua ibu bapa bernasib baik mampu menyedia barang persekolahan baharu kepada anak mereka.

Bagi keluarga kurang mampu, bantuan barangan persekolahan diterima menerusi Program Sayang 1Samariang anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang disifat usaha murni meringankan beban mereka.

Bapa kepada dua anak, Azinul Alif Mohd Faris, 27 berkata, dia berasa terharu kerana seorang anak berusia enam tahun bakal memasuki alam persekolahan termasuk dalam senarai penerima bantuan barangan persekolahan menerusi program itu.

“Saya berasa amat bersyukur dengan pemberian bantuan ini kerana sedikit sebanyak ia meringankan beban saya dan isteri.

Saya berterima kasih dengan kerajaan terutama ADUN Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang bertungkus lumus menjaya program bantuan ini.

“Saya akan mendidik anak-anak untuk memanfaatkan keperluan persekolahan diterima ini dan diharap adanya bantuan ini semakin meningkat minat mereka untuk pergi ke sekolah,” katanya.

Azinul berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Bantuan Peralatan Persekolahan pada Program Sayang 1Samariang, di Pusat Khidmat Semariang, di Kampung Malaysia Jaya, di sini, semalam.

Azinul berasal dari Kampung Semerah Padi Semariang, di sini pekerja buruh kasar juga memberitahu, usaha kerajaan dalam membantu dan meringankan beban rakyat haruslah dihargai dan disambut baik.

Sementara itu, ibu kepada dua anak, Suzana Sahari, 30 berkata, bantuan tersebut, meskipun sedikit, tetap dirasa besar dan banyak bagi golongan yang memerlukan sepertinya.

“Walaupun anak saya tidak ramai, saya tetap menganggap bantuan diterima ini sebagai sesuatu besar dan amat dihargai.

“Ia bukan sahaja membantu meringankan beban kami sebagai ibu bapa, tetapi ia juga pada masa sama dapat menjadi galakan kepada anak-anak untuk lebih berusaha agar menjadi anak yang cerdik pandai pada masa akan datang,” katanya.

Suzana juga melahir harapan agar usaha seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang terutama bagi membantu golongan yang mempunyai nasib yang sama seperti mereka.

Penyerahan bantuan peralatan persekolahan ‘Back-To-School’ menerusi Program Sayang 1Samariang itu disempurnakan oleh ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dalam program tersebut, seramai 230 anak-anak pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah merangkumi 22 ranting di kawasan Samariang menerima bantuan berupa beg sekolah.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget