Detik bersejarah Sarawak malam ini

10,000 dijangka rai tahun baharu, pemansuhan tol di Sarawak malam ini.

KUCHING: Buat julung kalinya, sambutan tahun baharu di sini akan diadakan secara besar-besaran serentak dengan kiraan detik berakhirnya kutipan tol di Sarawak pada majlis gilang-gemilang di Plaza Tol Jambatan Tun Salahuddin, malam ini.

Detik cukup bersejarah ini akan disambut tepat pada jam 12 tengah malam dengan jangkaan 10,000 hadirin bagi menyaksi dan menyambut Tahun Baharu 2016 sekali gus meraikan tiada lagi kutipan tol di Sarawak.

Sambutan akan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang telah mengumumkan pemansuhan kutipan tol Jambatan Tun Salahuddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, justeru mengotakan janjinya untuk menghapuskan tol di negeri ini.

Salah seorang pengguna yang melalui tol Jambatan Tun Salahuddin setiap hari, Muhammad Shairazi Nawawee, 26, berkata beliau amat bersyukur dengan langkah Adenan memansuhkan tol berkenaan.

“Langkah Ketua Menteri ini cukup tepat, beliau adalah pemimpin yang harus dipuji dan disayangi kerana inilah yang kita perlukan dalam keadaan ekonomi sekarang yang semakin merosot.

“Beban rakyat khususnya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Menurut Shairazi, beliau selama ini membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk membayar tol kerana ia adalah laluan utamanya untuk ke tempat kerja di Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga.

“Dari Isnin hingga Jumaat, saya perlu membayar tol RM3.20 sehari untuk ke pejabat. Jika termasuk Sabtu dan Ahad untuk urusan lain, maka bertambah lagi perbelanjaan tol saya iaitu mencecah RM320 sebulan.

“Ini amat membebankan kerana perbelanjaan tol ini boleh digunakan untuk membeli keperluan dapur, membayar bil elektrik dan air,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Samariang dan merupakan pegawai kanan di Bahagian Keselamatan dan Pasport, Jabatan Imigresen.

Dayang Noraini Awang Ahmad, 29, dari Kampung Gersik, Petra Jaya juga menyifatkan pemansuhan tol berkenaan merupakan langkah bijak oleh Adenan dalam meringankan beban hidup rakyat.

“Kos sara hidup semakin meningkat dan dengan pemansuhan tol ini, sekurang-kurangnya belanja untuk tol selama ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya.

Dayang Noraini berkata, beliau juga merupakan salah seorang pengguna harian tol Jambatan Tun Salahuddin dengan anggaran perbelanjaan sekurang-kurangnya RM300 sebulan.

“Saya bukan sahaja menggunakan tol ini untuk pergi ke tempat kerja tetapi juga urusan harian lain sebab rumah saya terletak berdekatan dengan kawasan tol,” katanya yang juga bekerja di Jabatan Imigresen.

Bagi pekerja mengutip tol Jambatan Tun Salahuddin pula, hari ini adalah hari terakhir mereka berurusan dengan orang ramai di situ.

“Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan sekarang tetapi yang pasti, saya tidak perlu lagi melakukan ‘senaman lengan’ setiap hari,” kata Christina Awang sambil berjenaka ketika ditemui, semalam.

Menurut Christina yang sudah bekerja selama lima tahun di satu-satunya tol di Kuching itu, nasib mereka untuk mendapatkan pekerjaan semula juga masih belum diketahui.

Selain itu, pegawai penyelaras di situ yang enggan namanya didedahkan turut memberitahu mereka tidak dibenar memberi kenyataan umum berhubung perkara tersebut.

Bernadette Bartholomew Aji yang telah bekerja sejak tol Jambatan Tun Salahuddin ditubuhkan pada 2003, juga keliru dengan apa yang akan berlaku selepas ini.

“Kami hanya mengikut arahan dari pihak atasan. Kami tidak dimaklumkan mengenai sesuatu rancangan tetapi kami menunggu berita baik,” kata wanita berbangsa Iban berasal dari Kanowit itu.

Selain Jambatan Tun Salahuddin, pemansuhan tol juga telah dilakukan ke atas dua jambatan iaitu Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN di Baram, Miri.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget