RM500,000 untuk PAWE: ADUN Nangka

Mohon sebidang tanah di kawasan DUN Nangka untuk bina bangunan sendiri, Dr Annuar sedia bantu

SIBU: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) disaran memohon sebidang tanah daripada kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka untuk membina bangunan sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, beliau bersedia menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tujuan tersebut.

Terdapat beberapa bidang tanah milik kerajaan negeri yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Kampung Abang Barieng dan Bandong yang boleh dipohon oleh PAWE bagi tujuan itu.

“Pada masa kini, PAWE telah menumpang di bangunan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) tanpa dikenakan sebarang bayaran sewa.

“Jika mereka (PAWE) sudah ada tanah, saya akan menyalurkan peruntukan bagi membina bangunan untuk kegunaan warga emas di kawasan DUN Nangka ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra PAWE Sibu bersama anak yatim daripada Kompleks PERYATIM Sibu di Dewan LAKIS di sini, semalam.

Turut hadir Abang Hashim Abang Zainudin, Pengurus Kompleks PERYATIM Sibu Siti Nurrainie Bolhassan serta yang lain.

Dr Annuar berkata, operasi Kompleks PERYATIM Sibu kini berjalan lancar dengan adanya pentadbiran sepenuh masa terdiri daripada peng-urus, pegawai agama dan para warden.

“Kita bersyukur kerana pihak pengurusan telah menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.

“Kita juga mempunyai exco PERYATIM Sibu yang terdiri daripada sukarelawan di mana mereka ini akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan kita ada beberapa peringkat lagi untuk mengawasi PERYATIM,” ujarnya.

Selain itu katanya, PERYATIM banyak bergantung kepada sumbangan daripada orang ramai dan mereka diharap terus menyalurkan sumbangan masing-masing.

“Perlu diingatkan bahawa kebanyakan daripada kos operasi PERYATIM terma-suk makan minum anak-anak, pembayaran gaji pekerja, wang saku dan keperluan harian mereka semuanya bergantung kepada sumbangan daripada masyarakat umum,” jelas beliau.

Tahun depan katanya, PERYATIM Sibu menyasarkan pengambilan seramai 100 orang pelajar.

“Hari itu kita ada seramai 67 pelajar di Kompleks PERYATIM dan setakat ini kita ada pertambahan seramai 14 pelajar dengan kesemuanya kini seramai 81 pelajar,” ujarnya.

Mengulas mengenai ter-dapat segelintir penjaga yang enggan menghantar saudara yang dikategorikan sebagai anak yatim ke PERYATIM, Dr Annuar memberitahu perkara tersebut adalah di-sebabkan mereka (penjaga) merasa tugas menjaga adalah tanggungjawab mereka.

“Pada hakikatnya, jika mereka menghantar saudara yang dikategorikan sebagai anak yatim ke PERYATIM, jagaannya adalah lebih baik, teratur dan keperluan yang mencukupi.

“Justeru, saya ingin me-nyeru kepada penjaga yang mempunyai saudara dikategorikan sebagai anak yatim supaya berdaftar terus dengan Kompleks PERYATIM Sibu,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Dr Annuar turut menyampaikan sumbangan beg sekolah dan duit kepada para pelajar daripada Kompleks PERYATIM Sibu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget