Izin 8 tol naik tahun depan, kerajaan ‘pekak’ terhadap suara rakyat


PETALING JAYA: Tindakan kerajaan mengizinkan lapan lebuh raya menaikkan kadar tol masing-masing pada tahun depan membuktikan sikap ‘pekak badak’ kerajaan terhadap suara rakyat, kata Jawatankuasa Bertindak #ShutdownJalanDuta.

Pengerusinya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, ini kerana keizinan tersebut diberikan walaupun pelbagai NGO serta parti politik bersuara mendesak kerajaan mengubah fikiran mereka.

“Kenaikan lapan konsesi tol bukan hanya memberi kesan kepada rakyat di bandar dan di pinggir bandar, tetapi juga kepada mereka di luar bandar, kerana akan meningkatkan kos operasi barangan keperluan yang dibawa ke sana.

“Kesan domino ini langsung tidak disentuh kerajaan ketika menjustifikasikan kenaikan tersebut. Mungkin mereka ingat rakyat mudah diperbodohkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman kenaikan ini dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang Dewan Rakyat bulan lalu atas sebab untuk mengelakkan pembayaran pampasan berjumlah RM593.32 juta kepada syarikat konsesi.

Lapan lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Link Kedua, Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Selat Klang Utara (NKSB) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Justeru, beliau menggesa orang ramai menyertai protes #ShutdownJalanDuta pada malam tahun baru ini bagi menyuarakan bantahan mereka.

“Kerajaan hanya memahami bahasa ‘kurang ajar’. Maka kami menyeru orang ramai untuk memenuhkan Tol PLUS Jalan Duta pada malam tahun baru ini bagi memastikan kerajaan belajar sesuatu daripada rakyat,” katanya lagi.

- Free Malaysia Today
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget