Jadikan bot tangkap ikan teksi air: Abang Johari


Kementerian Pelancongan menyokong nelayan bawa pelancong bersiar-siar di sekitar pantai dan pulau
KUCHING: Sedar akan potensi yang boleh memberi pulangan pendapatan tambahan kepada para nelayan pantai, Kementerian Pelancongan menyatakan sokongan kepada golongan ini untuk menggunakan bot menangkap ikan mereka sebagai teksi air.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, teksi air itu adalah bertujuan membawa pelancong luar mahupun dalam negara yang berhasrat mahu bersiar-siar di sekitar pantai mahupun pulau sedia ada di negeri ini.

“Sebenarnya, cadangan bagi menjana pendapatan tambahan seumpama ini telah dilaksanakan tetapi konsepnya adalah nelayan menyewakan bot atau perahu mereka kepada para pelancong yang mahu menjalankan aktiviti memancing di laut terutama di kawasan Telaga Air.

“Tetapi, pada masa sama, saya menyambut baik sekiranya para nelayan ini menjadikan bot mereka bukan sahaja untuk tujuan disewa kepada pelancong, bahkan dijadikan sebagai pengangkutan seperti teksi air untuk membawa pelancong bersiar-siar sehingga ke kawasan pulau.

“Selain boleh menjana pendapatan, usaha ini juga dilihat sebagai aktiviti mempromosikan keindahan alam semula jadi yang terdapat di negeri kita di mata pelancong,” katanya yang juga Menteri Perumahan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Pendekar Hati 12 Tahun 2015 dan Pertandingan Silat Seni Keris Naga Kilat, di Kubah Ria di sini, malam kelmarin.

Malah jelasnya, penduduk di sekitar Kampung Bako dan kampung berdekatan juga telah melaksanakan aktiviti seumpama ini bagi membawa pelancong yang mahu ke Taman Negara Bako.

“Di Satok juga kita telah laksanakan Teksi Sungai Satok, yang mana perahu digunakan untuk membawa pelancong bersiar-siar di sepanjang Sungai Sarawak dan kerana itu juga saya telah mencadangkan untuk membina Balai Polis Marin di Sungai Bintangor, di sini.

“Semua usaha ini bertujuan membantu menambah pendapatan sampingan para nelayan selain mempromosi Sarawak di mata dunia,” katanya.

Namun beliau juga mengambil kesempatan menasihati pengusaha perahu dan nelayan pantai untuk menekankan aspek keselamatan khususnya pelancong yang bersiar-siar menggunakan khidmat perahu mereka.

“Harus ingat, keperluan keselamatan seperti jaket keselamatan perlu disediakan oleh pemilik perahu atau bot untuk tujuan keselamatan penumpang,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian itu, Abang Johari yang juga ADUN Satok berkata, kekayaan gerakan seni silat yang masih digemari masyarakat boleh dijadikan sebagai usaha untuk mengurangkan kadar jenayah sosial yang sering dikaitkan dengan golongan belia hari ini.

Jelasnya, ia bukan sahaja mampu melahirkan generasi belia yang berdisiplin bagi yang mendalaminya, malah juga berperanan mempromosi gaya hidup sihat di kalangan rakyat negeri ini khasnya.

“Dengan penglibatan dalam seni silat ini, saya yakin dan percaya, golongan belia yang menyertainya, mampu menjadi masyarakat yang tinggi disiplin diri, daya tahan, yakin diri serta sikap menghormati orang lain terutama guru silat itu sendiri dan ibu bapa mereka.

“Ia sekali gus dapat mengurangkan penglibatan remaja dan belia dalam aktiviti yang tidak sihat iaitu gejala sosial membimbangkan yang boleh merosakkan jati diri mereka,” katanya.

Beliau juga bersetuju untuk menjadikan pesta silat itu sebagai acara tahunan bagi mengekalkan tradisi seni bela diri itu dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir Presiden Perguruan Seni Silat Hati 12 Mohamad Sabari Shaheran dan Tok Guru Brahim @ Karim Obeng.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget