Usaha bina negara hebat perlu pengorbanan – Najib


KUALA LUMPUR  – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha membina sebuah negara yang hebat amat memerlukan pengorbanan, saling memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Perdana Menteri memberitahu, semangat kerjasama dan cintakan perpaduan adalah amat penting bagi melakukan transformasi negara ke arah ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ (negara yang adil dan makmur serta diberkati dan diampuni Allah SWT).

Menurut beliau, semangat itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan negara dengan berteraskan perpaduan antara kaum yang jitu dan kukuh.

“Hasrat ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dukungan semua pihak tanpa mengira kaum atau fahaman agama,” katanya melalui perutusan dalam buku program Majlis Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1437 Hijrah yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini, hari ini.

Najib turut menyeru umat Islam supaya mengambil iktibar daripada kejayaan Nabi Muhammad membangunkan Madinah daripada sebuah kota kepada sebuah negara.

Beliau berkata, kejayaan Nabi Muhammad itu memberi gambaran bahawa perpaduan adalah penting dalam membangunkan dan menjana transformasi ummah.

“Kehadiran Nabi Muhammad SAW telah membawa bukan sahaja suatu sistem beragama yang suci dan luhur bahkan turut membawa sistem yang menyatukan ummah seluruhnya.

“Kesatuan yang dibina bukan sahaja menafikan perbezaan pangkat dan kedudukan tetapi turut menjalinkan rasa kasih sayang berteraskan akidah yang satu,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, perpaduan yang dibina juga telah menghasilkan ramuan kejayaan dalam membangunkan ketamadunan ummah yang mapan dari sudut rohani dan pembangunan fizikal.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget