Hanya parti komponen BN diberi tanggungjawab kemuka calon: Anyi



MARUDI: Di Sarawak hanya empat sahaja parti komponen Barisan Nasional (BN) dan realitinya keempat-empat parti itu sahaja diberi tanggungjawab mengemukakan calon parti masing-masing.

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Anyi Ngau berkata sebagai sebuah parti komponen, SPDP turut mengemukakan calonnya yang berwibawa dan mampu memberi kemenangan kepada BN.

“SPDP merupakan sebuah parti dipertanggungjawabkan membangun dan memohon lebih banyak pembangunan untuk rakyat lebih-lebih lagi masyarakat luar bandar.

“Justeru, di Parlimen Baram terdapat dua kerusi yang secara tradisinya dimiliki SPDP dan kemungkinan sebuah lagi kerusi baharu akan diserah kepada SPDP, bukannya parti lain seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing sudah semestinya menyalurkan dana kepada rakyat dan ini semua menerusi SPDP khususnya barisan pemudanya mendapat sokongan kuat.

Berucap pada Majlis Pemimpin SPDP Bersama Rakyat di Dewan Suarah Baram di sini malam kelmarin, Anyi berkata SPDP sudah mempunyai calon layak untuk kerusi Marudi iaitu Datu Dr Penguang Manggil iaitu calon yang mendapat sambutan paling hangat berdasarkan maklum balas pengundi dan penyokong BN di Marudi.

Sementara itu, Dr Penguang dalam ucapannya mengesahkan bahawa beliau sudah bersara daripada jawatannya sebagai pegawai kanan kerajaan dan kini beliau bebas berbicara mengenai politik.

“Tidak perlu bagi segelintir pihak di luar sana mengarahkan saya meletak jawatan kerana saya lebih tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya pernah berkhidmat dalam kementerian selama 36 tahun.

“Selepas ini, saya yakin kita bekerjasama dan memberi komitmen lebih untuk berkhidmat kepada masyarakat yang mahukan perkhidmatan terbaik tanpa sebarang pilih kasih,” jelasnya.

“Kalau saya menjadi pemimpin, saya tidak akan memecahbelahkan masyarakat dan kita menyaksikan berapa banyak rumah panjang sudah berpecah belah akibat perbezaan politik dan itu ialah musuh utama kita.

“Jangan menuding jari kepada seseorang kerana masalah ini adalah masalah dalaman kita dan kita harus bersedia berbincang antara satu sama lain,” katanya sambil mengharapkan kerjasama dan sokongan padu kaum Cina dan Melayu di sini.

Hadir sama Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting serta pemimpin dan wakil parti komponen BN di sini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget