Mawan enggan ulas peruntukan kerusi TERAS


Kenyataan dan ulasan lanjut mengenai perkara itu hanya akan merumitkan lagi keadaan

KUCHING: Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas lanjut mengenai peruntukan kerusi kepada parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana ia akan merumitkan lagi keadaan.

Menurut Menteri Pembangunan Sosial itu, hanya Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang berhak membuat kenyataan.

Beliau menjelaskan, dengan pelbagai kenyataan dan mengulas lanjut mengenai perkara itu hanya akan merumitkan lagi keadaan.

“Saya tidak mahu mengulas hanya untuk merumitkan keadaan. Saya tidak mahu mengulas terlalu awal atau memberi kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain sekali gus meletakkan kepimpinan kita dalam situasi yang rumit,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan kerusi kepada TERAS menjelang PRN yang bakal diadakan sebelum Jun tahun depan.

Sebelum ini TERAS yang mesra BN berharap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu dibenarkan mempertahankan kerusi mereka pada PRN akan datang, yang penggalnya tamat pada Jun 2016.

TERAS, serpihan parti komponen BN iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), mempunyai wakil rakyat di Pakan (Mawan), Bekenu (Rosey Yunus), Marudi (Datuk Sylvester Entri Muran), Tasik Biru (Datuk Peter Nansian) dan Batu Danau (Paulus Palu Gumbang).

Sementara pada majlis yang sama Mawan turut menyampaikan ucapan Hari Krismas kepada rakyat Sarawak yang beragama Kristian.

Beliau berharap sambutan akan datang akan memberi makna kepada mereka semua yang menyambutnya dengan mengekalkan perpaduan pelbagai kaum.

“Dalam kita menyambut Hari Krismas apa yang penting adalah kita tetap mengekalkan perpaduan antara satu sama lain tanpa mengira agama.

“Perpaduan merupakan satu perkara yang tidak harus kita lupakan dan harus dikekalkan oleh rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget