Dedahkan semua penswastaan diluluskan Najib, PKR cabar Zahid


PKR menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan semua penswastaan yang diluluskan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan bayaran pampasan melampau kepada pemegang konsesi.

"Jika beliau tidak berani mendedahkan perjanjian-perjanjian ini dan mengambil tindakan untuk menghentikan kegilaan menswastakan projek kerajaan melalui konsep konsesi?

"Beliau sewajarnya tidak bercakap mengenai perjanjian-perjanjian konsesi lain yang semuanya diluluskan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional (tidak kiralah siapa perdana menteri ketika itu)," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu merujuk kepada kenyataan Zahid semalam yang menyalahkan pentadbiran perdana menteri terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kerajaan terikat dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang membebankan rakyat.

"Sementara saya bersetuju dengan beliau banyak perjanjian konsesi lebuh raya dan penjana bebas (IPP) diluluskan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, itu tidak bermakna pentadbiran sekarang di bawah Najib tidak mampu berbuat apa-apa untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian itu," kata Rafizi.

Menurut Rafizi, PKR sebelum ini mencadangkan langkah-langkah berikut untuk melindungi kepentingan rakyat, seperti penubuhan sebuah Suruhanjaya Perjanjian Awam (Public Agreements Commission).

"Ia untuk menyemak kembali kesemua perjanjian pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam dan memutuskan cadangan-cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat lebih dilindungi.

"Berdasarkan laporan dan cadangan Suruhanjaya Perjanjian Awam itu, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang-pemegang konsesi ini untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat," katanya.

Menurut Rafizi, langkah ini perlu memandangkan sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya badan-badan kerajaan (seperti PLUS dan Prolintas).

"Saham syarikat-syarikat ini turut dipegang badan-badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain – sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi," kata Rafizi kesal cadangan itu tidak diendahkan Putrajaya.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget