RM2juta bantu 10,000 pelajar


KUCHING: Muhd Asyraf Iswandi, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Bolhassan tidak sabar untuk berpakaian seragam baharu ke sekolah tahun depan.

Demikian pengakuan seorang anak kecil yang baharu pertama kali menerima sumbangan berupa beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis dan stoking daripada pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) semalam.

“Gembira dapat beg dan semua, saya hendak berkongsi alat tulis dengan kawan karib saya di sekolah bernama Muhd Aziq sebab kami sama sekolah dan selalu bersama ke kantin,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Dia turut meluahkan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis apabila dewasa kelak kerana sukakan pekerjaan itu.

Sementara itu, Dayang Selimmah Awang Mortadza, 11, dari SK Rakyat Tupong berkata dia tidak pernah membeli pakaian seragam sekolah sejak tiga tahun lepas.

Dia yang merupakan anak kelima daripada enam adik beradik berasal dari Kampung Tupong, berasa gembira mendapat pakaian seragam baharu untuk memulakan sesi persekolahan pada 4 Januari depan.

“Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu adalah suri rumah, tapi masih ada dua pasang lagi baju seragam sekolah yang masih muat,” katanya.

Selain dua murid ini, terdapat 898 murid dari sekolah rendah berlainan dalam kawasan Parlimen Petra Jaya turut menerima sumbangan yang sama.

Antaranya, SK Matang, SK Matang Jaya, SK Sejijak, SK Gita, SK Gita 2, SK Rakyat Tupong, SK Rakyat Bolhassan, SK Merpati Jepang, SK Encik Buyong dan SK Combined.

Juga SK Samariang, Sekolah Astana, SK Siol Kanan, SK RPR Jalan Astana, SK Semerah Padi, SK Petra Jaya, SK Tan Sri Datuk Haji Muhamed, SJK Chung Hua No.4 Kuching dan SJK Chung Hua Sungai Tengah.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Fuad Khushairi berkata pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam usaha membantu 10,000 pelajar sekolah di samping meringankan bebanan perbelanjaan ibu bapa mereka di seluruh negara.

“Ini merupakan program tanggungjawab sosial kor-porat (CSR) yang kami salurkan kepada masyarakat bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Keperluan Sekolah oleh PLUS dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Petra Jaya.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali turut mengucapkan penghargaan sambil menyeru agar rakyat terus menyokong pucuk pimpinan Barisan Nasional di negeri ini.

“Ini menunjukkan komitmen tinggi syarikat korporat Plus Malaysia Berhad kerana kestabilan politik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita harus jaga keharmonian ini melalui warga korporat yang banyak membantu dalam setiap bidang yang boleh kita jalankan bersama,” tegasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget