Akta MKN bakal sekat tuntutan autonomi Sarawak


Berkuasa isytihar ‘kawasan keselamatan’ atas alasan jejas integriti, kestabilan sosiopolitik, ekonomi dan lain-lain
KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata peruntukan-peruntukan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan menangani tuntutan autonomi Sarawak.

Menurutnya, di bawah akta itu majlis diberi kuasa untuk mengisytiharkan sebarang kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’ berdasarkan tanggap majlis itu bahawa ia boleh menjejaskan integriti, kestabilan sosiopolitik, ekonomi, perpaduan kaum dan sebagainya.

“Di bawah akta ini apabila sesuatu kawasan diisytihar ‘kawasan keselamatan’, angkatan keselamatan akan mengambil alih dan mempunyai kuasa menahan seseorang, menggeledah dan menyita harta tanpa sebarang waran mahkamah.

“Mereka juga boleh menggunakan apa sahaja kuasa yang dianggap perlu ke atas mana-mana pihak atas nama menjalankan tugas,” katanya.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata pada dasarnya kuasa untuk mengisytihar sesuaru kawasan sebagai ‘kawasan keselamatan’ adalah sama seperti perintah berkurung yang dikenakan ketika darurat atau ancaman komunis.

Bagaimanapun ujarnya di bawah akta itu, kuasa itu terletak di tangan Perdana Menteri dan ahli-ahli majlis terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Kerajaan, Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Polis Negara.

“Saya boleh menyenaraikan beberapa contoh bagaimana akta ini boleh digunakan untuk mewajarkan penindasan oleh kerajaan persekutuan ke atas Sarawak terutama usaha mendapatkan kuasa autonomi.

“Permintaan Sarawak meningkatkan bayaran royalti (minyak dan gas) sebanyak 20 peratus misalnya, Perdana Menteri mungkin menggunaan alasan pembayaran kadar royalti itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan pusat seterusnya menyebabkan ketidakstabilan ekonomi negara,” ujarnya.

Selain itu katanya, akta itu boleh menjejaskan hasrat Sarawak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini dengan alasan ia boleh melemahkan status bahasa Malaysia.

Perdana Menteri malah boleh menggunakan alasan ia boleh memberi kesan ke atas ketidakstabilan sosiopolitik dan menjejaskan perpaduan negara, tambah Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.

“Perdana Menteri, mungkin boleh menggunakan alasan kestabilan sosiopolitik negara dan mengisytiharkan Sarawak sebagai ‘kawasan keselamatan’ dengan mengarahkan agensi penguat kuasa dan keselamatan memerintah negeri ini jika Sarawak menuntut lebih banyak kuasa autonomi,” ujarnya.

Malangnya kata Chong ketika undian dalam Parlimen untuk meluluskan akta tersebut, semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak menyokong Rang Undang-Undang MKN diluluskan seterusnya dijadikan akta.

Ahli Parlimen BN Sarawak katanya, menyokong rang undang-undang itu meskipun banyak kenyataan akhbar dikeluarkan di luar Parlimen terutama oleh pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengatakan ia ‘TIDAK ADIL UNTUK SARAWAK’.

“Imej berani Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Sarawak turut terjejas dengan lulusnya rang undang-undang ini.

“Beliau mungkin hero nombor satu di Sarawak yang mempunyai keberanian bercakap menentang UMNO.

“Namun akhirnya, apabila Ahli Parlimennya pergi ke Parlimen, mereka perlu akur dengan UMNO untuk menjejaskan kepentingan Sarawak,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget