Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, semua kaum sama ada Cina, Bidayuh, Orang Ulu dan Iban boleh mengemukakan permohonan di pejabat cawangan UPP masing-masing.
“Kumpulan pertama layak akan menerima bantuan ini pada Oktober. Orang ramai belum memohon boleh berhubung dengan pengerusi parti di cawangan masing-masing.
“Setakat ini kita berjaya mengumpu dana sebanyak RM30 juta dan berharap dapat mencapai sasaran RM50 juta,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Keusahawanan Belia di Hotel Parkcity Everly Miri semalam.
Hadir sama Timbalannya Datuk Dr Jerip Susil dan Ketua Pemuda UPP Dr Johnical Rayong Ngipa.
Seminar selama dua hari bermula semalam itu dianjurkan oleh UPP dengan kerjasama TERAJU dan Kerajaan Negeri.
Wong menambah, borang permohonan boleh didapati di cawangan UPP dan borang yang telah lengkap akan dihantar ke ibu pejabat UPP untuk dinilai.
“Tujuan kita menubuh tabung ini ialah bagi membantu golongan miskin dan memerlukan khususnya keluarga mempunyai ramai anak dan berpendapatan rendah,” katanya.
Katanya, bantuan itu diberikan kepada pelajar sekolah rendah sehingga pengajian tinggi yang layak.
Tambahnya, UPP berharap tabung tersebut dapat memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak tempatan yang tidak mampu untuk mendapatkan pendidikan seterusnya mempunyai masa depan yang terjamin.
Tabung Pendidikan UPP ditubuhkan sempena sambutan Ulang Tahun Pertama UPP dan ia dibiayai oleh kerajaan selain sumbangan daripada usahawan-usahawan di negeri ini.-Utusan Borneo
Post a Comment