Rakyat luar bandar diminta fikir cara terbaik tambah pendapatan


BINTULU: Masyarakat luar bandar disaran sentiasa memikirkan cara terbaik bagi menambah pendapatan keluarga seterusnya memperbaiki status ekonomi mereka dari semasa ke semasa.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata komuniti luar bandar khususnya penduduk rumah panjang wajar mengubah cara mereka bekerja atau menjalani kehidupan seharian.

“Kalau duhulu masyarakat kita mengamalkan pertanian pindah dengan turun ke huma seawal pagi hingga petang, namun hasilnya tidak seberapa dan adakalanya bekalan padi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan ruji keluarga.

“Cara lama itu harus diubah dengan mengamalkan pertanian kaedah baharu yang lebih efisien dan produktif,” katanya pada Seminar Kepimpinan Wanita Dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Seminar Kepimpinan dan Pengurusan JKKK di sini, Sabtu lalu.

Rundi berkata proses transformasi kerajaan meningkatkan sosioekonomi sesebuah masyarakat harus diperhebatkan bagi memastikan cara lebih efektif dapat diterapkan.

Justeru, pelbagai program melibatkan pengenalan ekonomi baharu diperkenalkan kerajaan bagi membantu masyarakat luar bandar meningkatkan hasil perusahaan mereka.

Beliau berkata projek usaha sama pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui penanaman kelapa sawit paling berjaya di sini.

“Inilah yang kita inginkan iaitu penduduk di sini semakin mengenali corak pertanian moden yang sememangnya dapat membantu mereka meningkatkan tahap pendapatan keluarga,” katanya.

Rundi turut menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM642,000 kepada 44 penerima dari kawasan Kemena yang terdiri JKKK rumah panjang dan kampung, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Sebauh David Kala dan dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Victor Temenggung Anggang dan Jenny Bangga.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget