Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Khalid Samad berkata situasi itu dijangka ekoran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tidak berminat dengan PR dan lebih berminat untuk berkerjasama dengan ‘pihak lawan’.
KUALA LUMPUR - Kemungkinan besar Parti Amanah Negara (Amanah) akan dipersalahkan atas ketidak bersamaan Pas dalam pembentukan Pakatan Rakyat 2.0.
Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Khalid Samad berkata situasi itu dijangka ekoran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tidak berminat dengan PR dan lebih berminat untuk berkerjasama dengan ‘pihak lawan’.
Khalid berkata demikian ketika menjawab ucapan Hadi yang dilaporkan beberapa portal berita baru-baru ini.
Hadi dilaporkan berkata bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Amanah yang dijenamakan sebagai ‘pengkhianat kepada perjuangan PAS’.
Ahli Parlimen Marang juga dilaporkan berkata Pas bersedia untuk bekerja dengan lawannya dan bukannya orang-orang yang mengkhianati parti.
“Video ucapan Presiden Pas ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli Pas dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk Pas tidak menyertai PR 2.0,” kata Khalid dalam blognya hari ini.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan Hadi masih mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika krisis jawatan Menteri Besar Selangor sedangkan sokongan yang diterima memihak kepada penggantinya, Azmin Ali.
Katanya, Hadi juga pernah membuat tuduhan ‘liar’ pada pilihan raya umum lalu bahawa calon PKR di Terengganu mengambil ‘pil kuda’ yang jelas membuktikan pengkhianatan kepada PKR.
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga turut merujuk kepada insiden di mana Pas meletakkan calon di Kota Damansara walaupun parti itu sebelum ini bersetuju bahawa ia adalah ‘kerusi PKR’.
“Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan ‘pengkhianat’ maka sudah pasti yang pertama tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan Pas.
“Bagi kami dalam Amanah, kami dianggap pengkhianat kepada Pas kerana menentang pengkhianatan Pas terhadap PR.
“Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.
“Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi Pas dalam politik masa depan negara?” soalnya.
- The Rakyat Post
Post a Comment