Sabah tubuh jawatankuasa kaji bidang penurunan kuasa

Musa berkata, kerajaan BN di peringkat persekutuan dan negeri mempunyai matlamat sama, iaitu membawa lebih banyak pembangunan kepada Sabah dan negara secara keseluruhan.
KOTA KINABALU - Kerajaan Negeri Sabah akan menubuhkan sebuah jawatankuasa, bagi mengkaji bidang-bidang kuasa pentadbiran di bawah kerajaan pusat yang perlu diturunkan kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, bidang kuasa itu adalah seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu kerajaan negeri diberi peranan lebih besar dalam menentukan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan dianggotai pegawai-pegawai kanan yang menerajui jabatan dan agensi-agensi penting dalam kerajaan negeri.

“Ini adalah selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pemberian penurunan kuasa kepada kerajaan negeri,” katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, pada Rabu.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan bekerjasama rapat dengan wakil kerajaan pusat bagi mengenal pasti bidang-bidang yang perlu diagihkan untuk membolehkan kerajaan negeri mempunyai lebih banyak kuasa bagi membuat keputusan.

“Ini perlu dilaksanakan, kerana seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa banyak contoh kelewatan dalam perancangan, penyaluran dana dan pelaksanaan projek, disebabkan banyak agensi di peringkat pusat, birokrasi dan berpolitik,” katanya.

Berikutan penubuhan jawatankuasa peringkat negeri, beliau berharap bidang-bidang penting dalam sistem penyampaian kerajaan pusat dapat dikenal pasti dan dikaji, bagi membolehkan kerajaan negeri mempunyai penguasaan terhadap perancangan, pembiayaan dan pelaksanaan projek-projek dan program kerajaan.

Musa berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan dan negeri mempunyai matlamat sama, iaitu membawa lebih banyak pembangunan kepada Sabah dan negara secara keseluruhan.

“Kami percaya penurunan kuasa ini akan membolehkan kita mencapai matlamat ini dengan cara yang lebih tepat dan cekap,” katanya.

- The Rakyat Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget