Utamakan autonomi pendidikan, Inggeris bahasa pengantar

Wajar diambil jika kerajaan serius capai autonomi pendidikan, sementara rundingan dijalankan dengan kerajaan pusat

KUCHING: Kerajaan negeri harus menjadikan autonomi dalam pendidikan serta kebangkitan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah sebagai keutamaan dalam Bajet Negeri 2016 yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November akan datang.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, langkah konkrit itu wajar diambil sekiranya kerajaan negeri serius untuk mencapai autonomi pendidikan, sementara rundingan demi rundingan dijalankan dengan kerajaan pusat.

“Demi generasi masa depan kita dan sementara rundingan diteruskan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif untuk memulakan agenda autonomi pendidikan dan kebangkitan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sesetengah sekolah.

“Sebagai permulaan, 10 peratus daripada bajet tahunan kerajaan negeri yang kira-kira RM5 bilion adalah angka munasabah,” katanya pada sidang media, di pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong, ADUN Batu Kawah Christina Chiew, ADUN Padungan Wong King Wei, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bandar Kuching Sanjan Daik.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, 10 peratus daripada Bajet Negeri 2016 yang dianggarkan berjumlah RM5 bilion akan membabitkan wang lebih kurang RM500 juta.

Menurut beliau, RM100 juta daripada angka RM500 juta boleh digunakan dalam melatih tenaga pengajar untuk mengajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dengan menyediakan pusat latihan guru negeri serta melatih sekurang-kurangnya 2,000 guru.

Dalam tujuan itu katanya, keutamaan perlu diberikan kepada pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL) memandangkan graduan-graduan tersebut sering dipinggirkan daripada diambil bekerja di sekolah-sekolah kerajaan.

Manakalala RM250 juta lagi katanya, boleh diguna-kan untuk mewujudkan sekolah-sekolah swasta milik kerajaan negeri di mana bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar.

“Sekolah-sekolah ini akan dikendalikan seperti sekolah swasta namun dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dalam usaha menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat Sarawak,” katanya sambil mewujudkan kerjasama dengan sekolah-sekolah mubaligh sedia ada, diswasta-kan, bagi menghidupkan kembali sistem bahasa pengantar bahasa Inggeris.

Chong memberitahu, RM40 juta lagi boleh digunakan untuk mewujudkan sebuah Jabatan Pendidikan Negeri yang berusaha ke arah autonomi penuh pendidikan bagi Sarawak serta mewujudkan pasukan petugas bagi mengkaji dan menggubal set sukatan pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah di Sarawak.

“Sukatan pelajaran itu bagaimanapun, hendaklah dalam kesemua tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan bahasa Mandarin.

“Kita tidak mengatakan semua sekolah harus menggunakan bahasa Inggeris tetapi harus mengekalkan bahasa Malaysia dan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar bagi memberi pilihan kepada ibu bapa,” katanya.

RM30 juta boleh digunakan untuk mempromosikan pengajian bahasa Iban dan bahasa etnik Dayak lain katanya sambil menambah, manakala RM80 juta boleh diberi sebagai geran dan subsidi kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah-sekolah pertengahan Cina bagi membantu kerja-kerja pembinaan dan peluasan kemudahan di sekolah-sekolah sedia ada.

Chong yang juga ADUN Kota Sentosa berkata, perbelanjaan dalam pendidikan sentiasa menjadi bahagian paling besar dalam bajet tahunan kerajaan persekutuan di mana tahun ini, daripada jumlah RM253 bilion, sebanyak RM56 bilion diperuntukkan untuk pendidikan, membentuk kira-kira 20 peratus.

Daripada jumlah itu kata-nya, peruntukan bagi Sarawak adalah kira-kira RM4 bilion bagi membayar gaji guru serta membangun dan menyelenggara sekolah-sekolah.

“DAP mendesak (Datuk Patinggi Tan Sri) Adenan Satem, selaku Ketua Menteri dan Menteri Kewangan bertindak ke atas apa yang dijanjikan… jangan biarkan anak-anak kita menunggu sia-sia sementara menunggu keputusan rundingan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget