Usaha PKR untuk menarik 47 anggota Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak tidak akan berhasil, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Malah, beliau menyifatkan parti pembangkang itu 'silap membuat percaturan'.
Shamsul berkata Ini kerana semua anggota Parlimen itu tidak mudah digula-gulakan dengan dakyah politik pembangkang.
"PKR silap kalau beranggapan MP BN terutama di Sabah dan Sarawak mudah digula-gulakan dengan perjuangan yang kabur dan matlamat yang tidak jelas serta berubah-ubah mengikut keadaan.
"Saya cukup yakin kesetiaan rakan rakan anggota Parlimen BN Sabah dan Sarawak tidak mudah dibeli oleh Pakatan kerana hubungan dan kesetiaaan rakan-rakan BN di Sabah dan Sarawak telah lama terjalin dan dibina atas dasar keiklasan demi perjuangan," kata Shamsul yang juga anggota Parlimen Lenggong itu kepada Malaysiakini.
PKR semalam mengajak 47 MP BN dari Sabah dan Sarawak supaya meninggalkan gabungan parti pemerintah dalam usaha mereka membentuk gabungan bebas dan bekerjasama dengan blok pembangkang.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata perkara itu diperlukan demi masa depan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.
Malah, Shamsul yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata adalah lebih baik untuk ketua pembangkang itu menjaga perihal partinya sendiri.
"Adalah lebih baik Wan Azizah tumpu untuk baiki banyak kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat itu dan partinya di Selangor," kata Shamsul.
Bagaimanapun, Shamsul juga turut mempersoalkan sejauh mana PKR mampu meyakinkan rakan sekutunya DAP untuk berbuat demikian.
Sebaliknya, kata Shamsul, beliau yakin Wan Azizah tidak mampu menunaikan hasrat tersebut.
"Saya ingin bertanya, apakah DAP akan ikut apa yang Wan Azizah kata? Saya yakin tidak kerana Wan Azizah sendiri tiada pengaruh terhadap DAP," tambah Shamsul.
- Malaysiakini
Post a Comment