Pengundi DUN Engkilili harus terus beri kepercayaan kepada BN: Rayong


ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa menggesa pengundi khususnya di konstituensi ini agar terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus mengemudi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 kelak.

Beliau tanpa berselindung mahu agar Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem diberi peluang seluas-luasnya menjadi Ketua Menteri untuk penggal seterusnya bagi memacu pembangunan terutama di luar bandar memandangkan polisi beliau yang cukup peka dengan keperluan semasa penduduk luar bandar.

“Tentu masih ramai ingat kata-kata Adenan dalam temu bual khas di sebuah stesen televisyen swasta minggu lepas yang antara lain menyebut jurang perbezaan bandar dan luar bandar masih luas.

“Justeru, jurang itu harus dirapatkan dengan pentadbiran beliau kini beralih kepada keperluan mendesak luar bandar tanpa mengabaikan keperluan bandar.

“Sehubungan itu, sokonglah beliau dengan memberi mandat lebih besar kerana hanya dengan mandat kuat membolehkan semua perancangan untuk negeri ini berjalan lancar dan tanpa gangguan,” katanya dan mandat tersebut boleh dilakar dengan memberi undi kepada calon BN di kawasan ini iaitu beliau selaku penyandang sedia ada.

“Malah saya berharap agar kesetiaan kita bukan sahaja kepada Adenan malah harus ditumpahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang cukup prihatin dengan keluh kesah rakyat terutama ketika berhadapan situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Biarlah orang terutama pihak di sebelah sana bercakap apa sahaja tetapi yang banyak bekerja dan tahu masalah rakyat ialah Adenan di peringkat negeri dan Najib (pusat)…jadi sokonglah mereka berdua tanpa rasa sangsi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Thomas, Pelasok, Skrang, di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Rayong yang bakal mempertahankan DUN Engkilili pada PRN nanti berharap sokongan terhadapnya kekal tinggi bagi memastikan DUN ini kekal milik BN.

“Ini kerana masih banyak perancangan saya belum tertunai dan pastinya dengan kerjasama kukuh antara saya dan Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak kelak menjadikan pembangunan di konstituensi ini semakin rancak,” katanya dan menambah kerjasama erat mereka berdua selama ini telah membuahkan banyak hasil dan ia harus diteruskan untuk manfaat jangka panjang.

“Seperti yang anda semua lihat, kesepaduan saya dan Datuk (William Nyalau) amat utuh sekali dan ini penting untuk merencana masa depan DUN Engkilili dan Parlimen ini amnya.

“Usaha membangunkan sesuatu kawasan memerlukan pasukan yang kuat, justeru kerjasama kami berdua tidak harus dipisahkan semata-mata tewas kepada permainan segelintir pihak yang cemburu kepada kerjasama kami berdua,” tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak.

Selain itu, Dr Rayong meminta tuai-tuai rumah panjang agar tidak berpeluk tubuh sebaliknya harus gigih membangunkan rumah panjang masing-masing.

Katanya tuai-tuai rumah harus rajin bertemu dengan pihak atasan mahupun wakil rakyat untuk mengadu masalah yang dialami mereka agar masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan projek kecil luar bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Thomas sebanyak RM10,000 dan Biro Wanitanya menerima RM5,000.

Manakala Nyalau berjanji membantu penduduk rumah panjang ini membeli jubin untuk menyiapkan kerja-kerja pemasangan jubin.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget