RM5 juta untuk 22 rumah panjang


LUBOK ANTU: Kementerian Perumahan menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada 22 rumah panjang di Sarawak yang memohon pinjaman perumahan membaik pulih dan membina semula daripada kementerian berkenaan tahun ini.

Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis berkata peruntukan itu disediakan oleh kementeriannya bertujuan membaik pulih dan membina semula rumah panjang yang memohon pinjaman darpada kementerian itu.

“Setakat ini, kita menerima permohonan pinjaman daripada 22 rumah panjang seluruh Sarawak,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Kelas Leads, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Lubok Antu dan Dialog Bersama Kementerian Perumahan di Rumah Liam, Rantau Kemayau Manis, Lubok Antu malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, setakat ini RM20 juta pinjaman perumahan rumah panjang daripada kementerian itu masih belum dibayar oleh para peminjam.

Katanya kementerian meminta para peminjam agar membayar pinjaman tersebut secara ansuran kerana bayaran bulanan pinjaman itu bukan jumlah yang besar.

Setakat ini, peminjam boleh membayar ansuran menggunakan wang menerusi tabung Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang masing-masing,” jelasnya.

Harden menambah, setiap rumah panjang memohon pinjaman itu diberi pinjaman perumahan sejumlah RM15,000 untuk membeli perkakas rumah mereka.

“Mereka yang diluluskan permohonan perlu membayar balik sebanyak RM72 sebulan untuk tempoh 25 tahun.

“Kami berasakan, peminjam-peminjam mampu membayar balik pinjaman sebanyak RM72 sebulan kerana bayaran balik itu amat rendah buat masa ini,” jelasnya.

Harden berkata, rumah panjang yang ingin memohon pinjaman ini hendaklah mempunyai 10 pintu ke atas.

“Sebelum ini, pinjaman perumahan ditawarkan oleh kementerian sejumlah RM10,000 dengan kadar bayaran RM65 sebulan untuk tempoh 25 tahun,” katanya.

Hadir sama Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Dampi Manggi, Pegawai Bomba Sri Aman Jilin Itar, wakil Pegawai Pertanian Sri Aman Chana Langkan, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Lubok Antu Brain, pegawai-pegawai Kementerian Perumahan serta ketua-ketua masyarakat.

Harden turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada JKKK Rumah Liam dan RM3,000 kepada Biro Wanitanya.

Dalam pada itu, seramai 30 peserta Kelas Leads, KEMAS menerima sijil tamat kelas bermula 20 Mei lalu dan tamat pada 20 Ogos lalu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget