Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi)Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata perbezaan agama bukan satu isu kepada penduduk di negeri ini.
“Kita boleh meraikan perayaan-perayaan di bawah satu bumbung dalam satu keluarga.
“Kita tidak melihatnya sebagai sebahagian daripada cabaran tetapi kita perlu beringat sekiranya tidak berhati-hati akan berlaku beberapa pekara yang dapat kita lihat di tempat lain,” katanya.
Menurutnya, penduduk negeri ini perlu melindungi dan memelihara keharmonian agama, etnik, toleransi dan perpaduan kaum yang sekian lama wujud supaya negeri ini dapat bergerak ke hadapan.
“Sarawak berbeza daripada yang lain, menjadikannya tempat sesuai untuk semua orang menjalani kehidupan masa depan lebih baik dan untuk generasi akan datang,” katanya pada perasmian nyalaan lampu tanglung sempena sambutan Karnival Tanglung Bintulu di Dataran Esplaned malam kelmarin.
Karnival anjuran Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bintulu dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berlangsung sehingga 27 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu berkata ini merupakan tanggungjawab semua orang memandangkan tidak mudah mengekalkan perpaduan di kalangan semua kaum dan kumpulan etnik di negeri ini.
“Terdapat beberapa perbezaan yang tidak mudah dilakukan tetapi sikap toleransi membawa kita duduk bersama, makan bersama seperti selalu disebut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada semua pemimpin akar umbi atas usaha mereka membantu menyatukan penduduk di negeri ini.
“Akhir-akhir ini kita melihat kecenderungan kepada dasar-dasar kerajaan negeri sangat positif dengan pendekatan Ketua Menteri mahu semua kaum dan etnik diberi perhatian.
“Kerajaan negeri mahu kawasan luar bandar diberi penekanan dalam pembangunan supaya jurang dapat dikurangkan,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment