Anifah gesa menteri lain berhenti campur tangan isu duta China


Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengecam anggota Kabinet yang “campur tangan” dalam keputusan Wisma Putra untuk memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Beliau berkata, adalah amalan biasa bagi kementeriannya untuk memanggil duta, dan tidak memerlukan campur tangan daripada anggota Kabinet lain.

“Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri lain.

“Sebaliknya campur tangan mereka memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pemimpin Umno Sabah itu berkata, beliau tidak pernah membatalkan arahan duta China bertemu dengan Wisma Putra bagi memberikan penjelasan.

"Saya berasa amat dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dulu.

"Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil duta besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau," katanya.

Semalam akhbar vernakular melaporkan pemangku menteri luar, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membatalkan arahan bertemu Huang yang dilaporkan dikeluarkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara Malaysiakini melaporkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai berkata Reezal melanggar protokol apabila memanggil Huang ke Wisma Putra.

Bagaimanapun, Reezal memberitahu The Malaysian Insider arahan tersebut datang daripada Anifah.

Menegaskan perkara memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra merupakan amalan biasa, Anifah berkata ia bertujuan meminta penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya semasa lawatan ke Jalan Petaling di Kuala Lumpur tempoh hari.

"Wisma Putra cuma ingin meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya itu disalah tafsir atau sebaliknya.

"Wisma Putra membuat perkara yang sama dengan duta Amerika Syarikat, duta Vatican dan duta Singapura pada masa lalu. Ini amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961," katanya.

Anifah yang kini berada di New York, Amerika Syarikat kerana menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia perlu menyampaikan pendirian kepada China dengan jelas.

"Dalam perkara ini, setelah berbincang dengan perdana menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil duta besar China hadir di Wisma Putra memberi penjelasan,” katanya.

Beliau berkata, isu itu tidak perlu dibawa ke peringkat Kabinet kerana mampu ditangani di peringkat pegawai kanan Wisma Putra. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget