RM15 bilion bangun luar bandar Sarawak dalam RMK11


SIBU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah mengemukakan cadangan peruntukan sebanyak RM49.47 bilion kepada Kementerian Kewangan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan 30 peratus atau hampir RM15 bilion akan diagih kepada pembangunan luar bandar negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan diberikan kepada KKLW pada RMK9 ialah RM17.59 bilion manakala RM28.4 bilion pada RMK10.

Pada RMK11, pihaknya mencadangkan peruntukan sebanyak RM49.47 bilion dan 30 peratus daripada jumlah itu akan diberi kepada Sarawak.

“Peruntukan besar bagi negeri Sarawak itu menjadi bukti bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah mengabai pembangunan di negeri ini khasnya penduduk di luar bandar,” katanya ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 (Bahagian Sarikei) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datu Chaiti Bolhassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) KKLW Datuk Rahim Abu Bakar, Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Datuk Rubiyah Abdul Rahman serta tetamu kehormat yang lain.

“Kalau kita lihat antara jumlah itu, sebahagian besarnya pembangunan insfrastruktur dan pembangunan ekonomi luar bandar. Ini adalah tumpuan utama kita dan KKLW berharap agar cadangan itu dapat dilulus,” jelasnya.

Beliau mahu setiap ketua masyarakat dan ketua kaum di Sarawak menyedia profil kampung masing-masing supaya pihaknya dapat merancang program pembangunan sehingga tahun 2020.

Katanya keutamaan akan diberi kepada keperluan mendesak seperti bekalan air dan elektrik.

Ismail Sabri turut memberitahu bahawa sebanyak 2,200 hektar tanah di Bintangor dalam bahagian Sarikei akan dibangun untuk perladangan getah.

“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menggunakan peruntukan sebanyak RM122 juta tahun depan untuk bangunkan tanaman tersebut. Buat masa ini, pihak itu sudah mengenal pasti tanah terlibat.

“Justeru, Sarikei mendapat peruntukan sebanyak RM191 juta untuk bajet pembangunan yang merangkumi pembinaan sebuah loji air. Loji itu dijangka siap pada November ini. Bila siapnya loji itu, Sarikei tidak akan menghadapi masalah air lagi,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kementeriannya melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut bercadang untuk membina dua lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sarawak dalam RMK11 iaitu di bahagian Bintulu dan Lawas, menjadikan jumlah keseluruhan MRSM di negeri ini lima buah.

“Sarawak mempunyai tiga MRSM iaitu di Kuching, Betong dan Mukah. MARA bercadang untuk membina dua lagi MRSM iaitu di Bintulu dan di Lawas pada RMK11 nanti,” tambahnya.

Turut dicadangkan ialah pembinaan sebuah lagi Pusat GIATMARA iaitu di Saratok dan sebuah lagi Institut Kemahiran Desa (INFRA) di Samarahan.

Pada masa ini Sarawak secara keseluruhannya sudah mempunyai 31 buah Pusat GIATMARA dan sebuah INFRA di Kuching.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget