Seni pertahanan diri Iban kuntau dipelihara

Persatuan Kuntau Iban Kebangsaan (NIKA) dicadang ditubuh untuk pastikan ia tidak pupus ditelan zaman

KUCHING: Persatuan Kuntau Iban Kebangsaan (NIKA) dicadang untuk ditubuhkan bertujuan memelihara seni mempertahankan diri masyarakat Iban yang dinamakan sebagai kuntau.

Pengasasnya terdiri daripada Ketua Pemuda Kesatuan Dayak Sarawak Kebangsaan (SDNU) Churchill Edward, Ahli Exco Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Mabong Unggang dan Timbalan Pengerusi Persatuan Seni Bela Diri Dayak Sarawak (SDMAA) Dom Silang.

Menurut Churchill, penubuhan persatuan itu dilihat sebagai salah satu usaha untuk memelihara kesenian bela diri kuntau masyarakat Iban selain mempromosi seni bela diri itu dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Kita berhasrat mahu menjadikan seni bela diri kuntau masyarakat Iban ini sebagai seni yang sentiasa segar dan tidak pupus ditelan zaman, kerana ia salah satu seni bela diri tradisional yang terancam seperti penyu, justeru ia harus dipertahan dan dipromosikan khususnya dalam kalangan belia dan anak muda tidak mengira latar belakang.

“Penubuhan NIKA juga disifatkan sebagai platform untuk mengumpulkan pengamal mahir seni bela diri kuntau di seluruh negeri ini,” katanya pada sidang media berhubung penubuhan NIKA di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan NIKA, jelas Churchill yang juga pengerusi Protem NIKA, beliau turut dibantu Dom sebagai timbalan pengerusi Protem dan Mabong berperanan sebagai setiausaha Protem sementara ia didaftarkan secara rasmi menerusi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Katanya pihaknya juga sedang giat mencari serta mengenal pasti pengamal mahir seni bela diri kuntau yang berpotensi untuk memberi tunjuk ajar kepada sesiapa yang berminat mempelajarinya.

“Setakat ini, kami telah menemui kira-kira tiga pengamal mahir kuntau yang berpotensi untuk memberi tunjuk ajar seni bela diri ini.

“Justeru, kami mahu lebih ramai masyarakat Iban mengetahui mengenai penubuhan NIKA ini supaya mereka tampil untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan seni bela diri kuntau bersama-sama dengan kami dan orang ramai yang berminat mempelajarinya,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau mahu seni bela diri itu menjadi sebahagian daripada sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) atau ke peringkat yang lebih tinggi lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, Dom memberitahu, beliau menerusi SDMAA akan mengenal pasti dan menyusun atur kriteria bagi memperkenalkan gred yang standard yang boleh diguna pakai dalam seni bela diri itu.

“Kita mahu konsep seni bela diri kuntau ini berjalan dengan standard gred yang teratur sama seperti yang digunakan dalam seni bela diri taekwondo yang mempunyai gred seperti tali hitam, tali putih, tali kuning dan sebagainya,” jelasnya.

Memberi jaminan selepas ia mendapat pendaftaran rasmi kelak, Dom juga menyatakan harapannya untuk membawa NIKA menerusi seni bela diri kuntau pada penganjuran Festival Kuching tahun depan.

Difahamkan setakat ini, latihan seni bela diri kuntau sedang berjalan dengan 32 pelajar aktif diketuai Tok Guru Kuntau Tuai Rumah Solomon Achu di Kampung Bayor, Balai Ringin.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai NIKA atau seni bela diri kuntau, sila hubungi pengasas NIKA iaitu Churchill di talian 017-8081485, Mabong (012-6925562) atau Dom (011-25011800).

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget