Kerajaan negeri tidak pernah merampas tanah NCR


ENGKILILI: Kerajaan negeri menerusi mana-mana agensinya tidak pernah atau berhasrat merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai mana dakwaan pembangkang.

Jika ada pun pengambilan tanah, ia dibuat untuk pembangunan namun harus menerusi prosedur ketat serta tanah itu akan diberi pampasan mengikut harga pasaran semasa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa tiada pihak harus berterusan memainkan isu ini terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana umum mengetahui kerajaan tidak sezalim itu untuk merampas tanah rakyat.

“Malah kerajaan turut menyediakan tanah lot untuk rakyat di negeri ini membuat rumah terutama bagi setinggan yang tidak mempunyai tanah…jadi bagaimana pula pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh mendakwa sedemikian,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat yang mempunyai tanah agar merebut kempen menyukat tanah NCR yang sedang giat dijalankan bersama agensi kerajaan iaitu Jabatan Tanah dan Survei.

“Pemilik tanah bersama ketua-ketua masyarakat harus duduk bersama dan membuat ketetapan bila kerja-kerja penyukatan itu dapat dilaksana kerana semakin cepat ia dilakasana semakin bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘nugal’ huma salah seorang penghuni Rumah Changgai, Selindung Ili, Engkilili di sini semalam.

Katanya tanah yang sudah disukat itu kelak akan diberi surat hak milik kepada pemilik tanah.

“Jadi bagaimana pembangkang boleh sewenang-wenangnya menuduh kerajaan ‘mencuri’ tanah NCR itu dengan berlindung di bawah kempen perimeter survei?,” soalnya dan mahu rakyat khususnya pengundi tidak terperangkap dengan pembohongan tersebut.

Katanya tanah yang sudah mempunyai surat hak milik itu pula jangan dibiarkan kosong sebaliknya harus diusahakan dengan tanaman komersial bernilai tinggi seperti lada hitam, koko, getah dan kelapa sawit.

“Seelok-eloknya tanah itu diusahakan bukan tertumpu kepada satu jenis tanaman sahaja sebaliknya harus lebih untuk mengelakkan kesan kejatuhan harga… sekurang-kurangnya jika harga satu tanaman turun kita masih ada tanaman alternatif lain,” katanya.

Mengenai ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’, Dr Rayong memberitahu bahawa tidak banyak yang boleh diperkatakan terutama oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memandangkan kes itu sedang melalui proses mahkamah.

“Kita tidak boleh memperkatakan isu ini ketika ini memandangkan ia kini sudah dibawa ke Mahkamah Tinggi…takut ia prejudis kepada mahkamah,” katanya.

Bercakap lanjut beliau memuji program ‘nugal’ itu kerana ia dapat merapatkan hubungan antara penghuni rumah panjang dan wakil rakyat.

“Saya sangat teruja bila dijemput kerana tahu program ini sangat baik untuk merapatkan hubungan bukan sahaja di kalangan rakyat malah antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya dan berharap agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Turut hadir pada program ‘nugal’ itu ialah Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Bilong Engkas dan beberapa tuai rumah.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget