Adakah Adenan benar-benar serius untuk autonomi pendidikan?


KOMEN: Adakah Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem benar-benar serius mahu menjadikan autonomi dalam pendidikan dan mengembalikan sekolah aliran Inggeris sebagai agendanya?

Jika ya, mungkin kerajaan negeri boleh mengaplikasikan cadangan DAP Sarawak yang menggesa kerajaan memperuntukkan sepuluh peratus daripada Belanjawan Negeri 2016 untuk pendidikan.

Menurut rancangan itu, ia untuk memulakan agenda autonomi Sarawak dalam bidang pendidikan dan memperkenalkan semula bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran di sekolah Cina dan mubaligh, serta sekolah-sekolah lain.

Sekolah-sekolah ini seharusnya dikendalikan di bawah Yayasan Sarawak atau sebuah badan di bawah kerajaan negeri.

“Jika kerajaan negeri benar-benar serius tentang autonomi pendidikan dan pengembalian sekolah aliran Inggeris, ia patut menjadikannya sebagai perkara utama dengan memperuntukkan sepuluh peratus daripada belanjawannya,” kata pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam satu sidang media.

September ini merupakan tahap akhir dalam perancangan belanjawan bagi tahun berikutnya, yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.

“Setakat ini, yang ada hanya cakap-cakap oleh Adenan tentang autonomi pendidikan. Tiada langkah konkrit, kecuali perbincangan demi perbincangan dengan Putrajaya.

“Perbincangan seumpama ini tidak akan habis (seperti soal 20 peratus royalti minyak dan gas). Pada masa masa saban tahun, generasi baru pelajar akan masuk ke dalam sistem,” kata Adun Kota Sentosa itu lagi.

“Demi generasi akan datang kita, sementara rundingan berjalan, kerajaan negeri patut mengambil inisiatif untuk memulakan agenda autonomi pendidikan dan pengembalian sekolah aliran Inggeris.

“Justeru peruntukan sepuluh peratus dalam belanjawan 2016 untuk soal pendidikan adalah cara yang paling sesuai untuk memulakannya,” katanya lagi.

Belanjawan tahunan negeri berjumlah kira-kira RM5 bilion, maka sepuluh peratus bermaksud RM500 juta.

Daripada peruntukan RM500 juta itu, sejumlah RM100 juta boleh digunakan untuk mewujudkan pusat latihan guru bagi melatih mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran.

Pusat-pusat ini boleh melatih sekurang-kurangnya 2,000 guru dan keutamaan patut diberikan kepada pemegang ijazah pendidikan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL).

Ini kerana para graduan ini telah diketepikan Kementerian Pendidikan yang enggan mengambil mereka untuk mengajar di sekolah kerajaan.

DAP juga menggesa penubuhan sekolah-sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Sejumlah RM250 juta patut digunakan bagi membina sekolah ini dengan status swasta, tetapi dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Ini akan memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak.

Turut sama pentingnya adalah pewujudan jabatan pendidikan negeri yang akan bekerja ke arah autonomi penuh pendidikan di negeri ini. Sejumlah RM40 juta patut dikhususkan bagi tujuan ini.

Ini akan memastikan sistem pentadbiran kerajaan dipertingkatkan untuk mentadbir soal pendidikan, termasuk pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran di sebahagian sekolah, serta pewujudan task force untuk mengkaji dan merangka sukatan pelajaran baru bagi sekolah rendah dan menengah di Sarawak.

Rancangan DAP itu juga mencadangkan penubuhan Pusat Bahasa Dayak untuk mengkaji, memelihara dan terus membangunkan bahasa Iban dan bahasa etnik Dayak lain dan pada masa sama menaiktaraf infrastruktur sedia ada dan mempromosikan pembelajaran bahasa Iban di sekolah. Sejumlah RM30 juta sepatutnya cukup bagi tujuan ini.

Ia juga mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM80 juta untuk dijadikan geran dan subsidi kepada sekolah rendah dan menengah Cina.

Sarawak tidak boleh bergantung kepada belanjawan persekutuan yang berjumlah RM253 bilion untuk tahun ini. Dari jumlah itu, RM56 bilion diperuntukkan kepada bidang pendidikan.

Daripada RM56 bilion ini, sejumlah RM4 bilion diperuntukkan kepada Sarawak. Ia antara lain bagi tujuan membayar gaji guru, membina dan menyenggara sekolah.

“Maka jika kerajaan negeri serius untuk ke arah autonomi pendidikan bagi negeri, kita perlu mula memperuntukkan belanjawan untuk mengendalikan sekolah kita sendiri. Sebagai permulaan, sepuluh peratus daripada belanjawan negeri adalah munasabah.

Kami menyeru Adenan, selaku Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, untuk mengotakan janjinya.

“Jangan biarkan anak-anak kita menunggu secara sia-sia serta mengorbankan satu lagi generasi sementara menunggu hasil rundingan dengan kerajaan persekutuan,” kata Chong lagi.-The Ant Daily (Joseph Tawie)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget