Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu 
serah 14 resolusi


KUALA LUMPUR  – Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan menyerahkan 14 resolusi perhimpunan itu kepada semua pihak terbabit termasuk Kementerian Dalam Negeri selewat-lewatnya awal Oktober ini.

Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tujuan resolusi tersebut diserahkan kepada pihak-pihak yang terbabit sebagai bukti bahawa perhimpunan yang diadakan di Padang Merbok pada 16 September lalu bukan sahaja berjaya diadakan secara aman tetapi juga bermatlamat.

“Semua 14 resolusi itu juga akan diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Jabatan Peguam Negara, Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat selewat-lewatnya awal Oktober ini.

“Bersama-sama resolusi itu akan turut disertakan klip video dan gambar-gambar yang diambil sewaktu perhimpunan tersebut diadakan sebagai bukti Himpunan Rakyat Bersatu memenuhi syarat-syarat dalam Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sewaktu ditemui selepas sesi santai sambil beramah mesra dalam Majlis Dialog Isu Himpunan Rakyat Bersatu di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Mara berkata, beliau tampil mengadakan sesi dialog itu bagi menjelaskan secara terperinci kepada pihak media massa tentang motif sebenar penganjuran himpunan itu diadakan bersama puluhan lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambil menegaskan himpunan disertai lebih 200,000 peserta itu bukan bersifat perkauman, beliau turut menyelar tuduhan segelintir pihak yang mengatakan usaha itu hanya bagi kepentingan kaum Melayu.

“Saya ingin tegaskan bahawa dalam resolusi yang akan diserahkan itu nanti turut disebut adalah hak-hak bukan Melayu yang perlu dipelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebelum himpunan itu diadakan kami telah berjumpa Perdana Menteri beberapa kali dan beliau tidak bersetuju kalau diadakan tidak mengikut undang-undang tetapi ternyata ia akhirnya berjalan dengan aman,” ujarnya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget