KUCHING:Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian tetap enggan mengulas sama ada Milton Foo akan dinamakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau sebaliknya cuba mengalih perhatian dengan memaklumkan bahawa parti telah mengemukakan tiga nama apabila pemberita berkeras mengatakan Foo satu-satunya calon berpotensi untuk Pending.
“Kami mengemukakan tiga nama sebelum ini. Kamu (wartawan) boleh membuat semakan laporan surat akhbar sebelum ini,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di premis Persatuan Chawan Sarawak di sini semalam.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sama SUPP akan mengesyorkan Foo, yang merupakan setiausaha Publisiti dan Penerangan Pemuda Pusat sebagai calon memandangkan konstituensi di Pending bersama pemimpin muda itu turun padang baru-baru ini.
Walaupun Dr Sim enggan memberi respons kukuh, beliau berkata: “Usah bimbang, kerja-kerja di peringkat akar umbi akan dilakukan oleh calon-calon.
“Jika saya ke sana dan ke sini, adakah ia juga membawa makna saya boleh menjadi calon di mana-mana?”
Ditanya sama ada Foo satu-satunya calon untuk Pending beliau berkata perkara seperti itu tidak pernah berlaku.
“Tidak pernah hanya seorang calon kerana apa yang berlaku jika kita kata kamu satu-satunya calon dan kamu tidak bekerja?,” katanya sambil menambah usia bukan isu.
“Saya tidak berjumpa dengannya dan bertanya berapa umurnya. Jika kamu cukup bagus, saya tidak kisah berapa umur kamu. Kami tidak mendiskriminasi antara muda dan tua.
“Calon mesti datang dari peringkat umbi dan turun (berkhidmat) di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Barisan Nasional (BN) tewas mempertahankan Pending, konstituensi bandar yang pengundinya majoriti Cina apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) menang dua kali berturut-turut dalam PRN 2016 dan 2011.
Calon DAP, Violet Yong, ‘orang baharu’ mengalahkan penyandang ketika itu, Datuk Sim Kheng Hui (SUPP) pada PRN 2006 kemudian mempertahankan kerusi itu dengan menewaskan Dr Sim pada pilihan raya seterusnya (2011).-Utusan Borneo
Post a Comment