PKR bersedia bekerjasama dengan DAP


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak bersedia bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak atas semangat Pakatan Harapan.

Pengerusinya Baru Bian berkata DAP Sarawak sebelum ini telah memutuskan kerjasama dengan PKR Sarawak disebabkan perbezaan fahaman terhadap isu tertentu.

Namun menurut Baru, mereka sedia untuk bekerjasama semula dengan DAP Sarawak, lebih-lebih lagi dalam misi Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bukan kami yang memulakan untuk memutuskan hubungan antara PKR dan DAP di peringkat negeri.

“Tetapi kami masih lagi boleh bekerjasama antara satu sama lain malah bukan sahaja dengan DAP asalkan kami dapat menumbangkan BN pada PRN dan PRU nanti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini semalam.

Tambah Baru, demi kepentingan bersama PKR Sarawak juga katanya, tidak mempunyai masalah dalam pembahagian kerusi pada PRN nanti termasuk pada PRU akan datang.

Mengulas mengenai Pakatan Harapan yang baharu dibentuk, Baru berkata PKR Sarawak menyokong penuh gabungan baharu ini menggantikan Pakatan Rakyat.

Menurut Baru, pembentukan gabungan baharu ini merupakan polisi kebangsaan yang telah diputuskan oleh pemimpin parti di peringkat pusat dan kebangsaan.

“Sebagai sebahagian daripada PKR, adalah perlu bagi kami di peringkat negeri untuk konsisten dengan keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti di peringkat pusat.

“Jadi, ia tidak menjadi isu untuk kami di Sarawak berhubung pembentukan gabungan baharu Pakatan Harapan seperti yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail,” katanya.

Setakat ini, Pakatan Harapan disertai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) melalui persetujuan bersama hasil rundingan meja bulat pada 22 September lepas.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget