PKR ragui potensi Amanah – Chandra

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Tindakan PKR yang terus tidak berputus asa menjemput Pas untuk menganggotai pakatan pembangkang baharu adalah disebabkan kekhuatiran mereka terhadap potensi Parti Amanah Negara (Amanah) yang belum teruji dan terbukti.

Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr. Chandra Muzaffar berkata, PKR sentiasa menyedari bahawa Pas mempunyai kekuatan dari segi sokongan pengundi dari kawasan luar bandar terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sebaliknya, kata beliau, Amanah sebagai parti yang baru muncul dalam persada politik tanah air belum diuji dalam mana-mana pilihan raya selain kekuatan jentera di peringkat akar umbi mereka yang masih kabur.

“PKR sememangnya memerlukan Pas kerana mereka masih belum pasti tentang Amanah. Tanpa Pas, tidak pasti matlamat mereka untuk menawan Putrajaya dapat direalisasikan. Oleh itu, mereka mahu memastikan sokongan semua pihak dengan penglibatan Pas.

“Kalau kita lihat demonstrasi Bersih 4.0 sebelum ini cukuplah, tidak ramai orang Melayu menyertainya sebab Pas tidak sertai. Mungkin itu membuka mata pemimpin-pemimpin PKR,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub semalam berkata, pendirian Pas yang enggan bekerjasama dengan DAP dan parti itu akan memudahkan parti pembangkang membentuk sebuah pakatan baharu.

Dengan ini, menurutnya, Amanah, PKR, DAP bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baharu itu tanpa Pas.

Mengulas lanjut, Chandra berkata, sekiranya Pas menyertai pakatan baharu tersebut, nescaya isu-isu perselisihan antara parti itu dan DAP sebelum ini termasuk hudud akan terus menghantui kerjasama berkenaan.

Perselisihan tersebut, kata beliau, pastinya akan memberi impak yang besar kepada sokongan akar umbi terhadap pakatan itu pada pilihan raya umum kelak, sekali gus hanya merugikan Pas.

“Jika sekarang Pas dan DAP ada persetujuan untuk membentuk kembali sebuah pakatan, lambat-laun akan juga menghadapi masalah atas faktor ideologi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Bekas Pengerusi DAP cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, kepemimpinan Amanah ketika ini terdiri daripada mereka yang ditolak akar umbi Pas menerusi muktamar parti tersebut sebelum ini.

“Sehubungan itu, bagaimana mereka hendak meraih sokongan rakyat atau pengundi sekiranya akar umbi parti sendiri menolak mereka? Ini membuktikan bahawa peranan Pas adalah sangat kritikal dalam memastikan kemenangan pembangkang,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget