Rugi aset 1MDB dikuasai asing


KUALA LUMPUR - Keputusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan sudah menyenarai pendek firma asing sebagai pembeli aset Edra Global Energy Berhad (Edra) miliknya, dilihat sebagai satu kerugian kepada firma tempatan terutama dari sudut pemilikan aset.

Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia, Dr. Ram Al Jaffri Saad, bagaimanapun berkata, keputusan itu sememangnya bakal memberi keuntungan kepada 1MDB kerana dibuat pada masa yang tepat dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan penyusutan ringgit.

Pada masa sama, katanya, ia juga dijangka boleh menyelesaikan beberapa isu hutang yang ditanggung syarikat milik kerajaan tersebut.

“Namun, saya tetap berpendapat ia adalah lebih baik aset ini dimiliki syarikat tempatan kerana ia bukan sahaja meningkatkan pemilikan tetapi rakyat juga mendapat manfaatnya.

“Ini kerana firma tempatan akan lebih mengutamakan tanggungjawab sosial kepada rakyat tanpa berteraskan kepada keuntungan semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia yang memetik sumber industri melaporkan bahawa 1MDB dijangka mengumumkan secara rasmi selewat-lewatnya awal Oktober ini, satu daripada tiga firma asing sebagai pemenang bida untuk mengambil alih 13 aset tenaga Edra miliknya yang bernilai RM10 bilion atau AS$2.3 bilion.

Menurut sumber berkenaan, firma tenaga berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power International dan Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar dikatakan berada di hadapan dalam senarai empat pembida, bersama satu lagi entiti asing dan juga firma tenaga tunggal dari Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Berikutan itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran S. meminta supaya Suruhanjaya Tenaga (ST) campur tangan sekiranya 1MDB telah menyenarai pendek aset strategiknya untuk dijual kepada firma luar negara.

Aset Edra terdiri daripada lima loji jana kuasa tempatan dan lapan antarabangsa termasuk di Bangladesh dan Mesir selain merupakan yang kedua terbesar di Malaysia selepas Malakoff Corp Bhd. (Malakoff). Syarikat kerajaan itu juga mempunyai asetnya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di Pakistan menerusi syarikat usaha sama.

Keseluruhannya, Edra memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5,500 MegaWat yang dianggarkan bernilai RM10 bilion oleh bank-bank.


Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, 1MDB perlu menimbang semula cadangannya untuk memilih firma asing mengambil alih aset Edra.

Ini kerana katanya, Malaysia mempunyai syarikat tenaga yang berkeupayaan tinggi dan memiliki rekod yang baik seperti TNB dan sebagainya.

Namun katanya, jika 1MDB mencari pembida yang besar dari segi modal, syarikat tempatan disaran membentuk kerjasama atau konsortium dengan firma asing supaya dapat selesaikan masalah modal dan tanggungan risiko secara bersama.

“Saya melihat proses bidaan ini wajar tetapi pada peringkat awal perlu dibuat secara tertutup melibatkan pemain tempatan sebelum dibuka kepada firma luar negara kerana kita tidak mahu berlaku situasi seperti kata pepatah ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan’,” katanya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget