Parti NewGen mahu sertai Pakatan Harapan, jaga kepentingan India



Gobi berkata, PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan tidak boleh menjaga kepentingan masyarakat India.
KUALA LUMPUR : Parti NewGen yang baru ditubuhkan mahu menyertai Pakatan Harapan (PH), bagi menjaga kepentingan masyarakat India.

Setiausaha Agungnya, S. Gobi Krishnan berkata, tiada lagi parti sedemikian dalam pakatan pembangkang yang boleh menjaga kepentingan kaum lain.

Jelasnya, walaupun tiga parti dalam Pakatan Harapan adalah parti berbilang bangsa, namun PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) didominasi orang Melayu yang akan menjaga kepentingan masyarakat Melayu, manakala DAP pula dikuasai pemimpin Cina yang menjaga kepentingan kaum Cina.

“Jadi, siapa yang akan menjaga kepentingan orang India dalam Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan?

“Sudah diketahui umum bahawa ramai orang India menyertai PKR pada 2008 yang akhinya menyedari PKR tidak mampu menjaga kepentingan masyarakat India.

“Memang difahami PKR hanyalah Umno mini, dengan majoriti pimpinannya di bawah penguasaan ahli politik Melayu.

“Sekarang ada kekosongan untuk orang India. Inilah peluang Parti NewGen mengisi kekosongan itu dan memperjuangkan isu yang dihadapi masyarakat India,” kata bekas Setiausaha Biro Strategi dan Dasar PKR itu dalam satu kenyataan.

Gobi meninggalkan PKR pada Januari 2013.

Gobi menjelaskan, NewGen menyasarkan untuk merampas Melaka daripada Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kumpulan pemikir pilihan raya kami telah mengkaji keadaan di negeri itu dan merancang strategi merampas Melaka daripada BN.

“Kami akan meletakkan calon-calon berbilang bangsa yang akan mencerminkan semangat rakyat Malaysia yang sudah tentu akan memenuhi keperluan semua kaum.

“Parti NewGen akan memberi saingan sengit kepada BN, pada PRU akan datang,” katanya.

Gobi juga pernah menjadi ahli eksekutif Pemuda MIC Selangor, dari 2003 hingga 2006.

Gobi dilaporkan meninggalkan PKR untuk menubuhkan NewGen pada Ogos 2013, dengan alasan dia tidak boleh melakukan perubahan yang dikehendakinya dan mahu menetapkan standard baru dalam politik negara.

Dia juga dilaporkan sebagai berkata, parti baru itu menyasarkan generasi muda berbilang bangsa dan pada masa sama, membuka pintu untuk menjalin kerjasama dengan BN dan Pakatan Rakyat, ketika itu.

- The Rakyat Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget