Daripada jumlah itu sebanyak enam puluh peratus calon adalah golongan muda, kata Tiong
SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mencalonkan hampir 100 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing berkata daripada jumlah itu sebanyak 60 peratus adalah golongan muda.
“Kami sudah berada di peringkat akhir menentukan serta mengenal pasti calon-calon SPDP pada PRN akan datang.
“SPDP percaya calon dipilih nanti adalah individu berpotensi calon boleh menang bagi mewakili Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat SPDP Zon Tengah di Jalan Chengal di sini semalam.
Hadir sama Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Paul Igai, Pengerusi SPDP Zon Tengah Datuk Lau Cheng Kiong, Timbalan Pengerusi SPDP Zon Tengah Teo Boon Siew serta ahli-ahlinya.
Bagaimanapun, Tiong yang juga duta khas Perdana Menteri ke Asia Timur berkata SPDP tidak meletakkan calonnya bertanding di kawasan Zon Tengah pada PRN nanti.
Justeru, kewujudan SPDP di kawasan tengah bukan untuk bersaing serta berlawan dengan parti komponen BN lain tetapi hanya mahu membantu menjaga kebajikan rakyat.
“Banyak orang bertanya kenapa SPDP diwujudkan di kawasan tengah.
“Kami sebenarnya bukan hendak merebut kerusi dengan parti komponen BN lain tetapi mahu bekerjasama dengan mereka membantu dan berkhidmat kepada rakyat.
“Oleh yang demikian, jangan risau dan bimbang kepada kami (SPDP),” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Tiong turut memberitahu bahawa SPDP berminat dengan 11 kerusi DUN baharu pada PRN akan datang.
Katanya, SPDP menyasarkan dua atau tiga kerusi baharu.
“Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan pucuk pimpinan BN mengenai kerusi baharu itu nanti.
“Bila tiba masanya, kami umumkan nama calon SPDP. Dalam pada itu kami mempertahankan kerusi sedia ada,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment