Keluarga Anwar Ulangi Tuntutan Gugur Dr. Jeyaindran


KUALA LUMPUR 28 September- Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tuntutan supaya Datuk Dr S Jeyaindran digugurkan sebagai ketua panel yang merawat bekas ketua pembangkang itu.
Dalam satu kenyataan, peguam Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Latheefa koya berkata keluarganya menegaskan Anwar perlu dibenar memilih pakar ortopedik dan menjalani pembedahan segera.
“Kecederaan di bahu kanan Anwar makin kronik dan menyebabkan kesakitan berterusan.
“Perkara ini dibangkitkan oleh Anwar, keluarga dan peguamnya sejak dipenjarakan pada bulan Februari 2015,” kata kenyataan bersama tersebut.
Keluarga Anwar pagi ini memaklumkan ketua umum KEADILAN itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dan bagi menjalani rawatan susulan.
Menurut peguam Anwar lagi, kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sebelum ini bahawa terdapat pakar perubatan yang memberi rawatan kepada bekas ketua pembangkang itu adalah tidak benar.
“Ketua pengarah mendakwa mereka sekarang benarkan seorang konsultan ortopedik pilihan keluarga Anwar untuk memberi pandangan kedua.
“Bagaimanapun, permohonan ini sudah lama dibuat dan tidak pernah dipenuhi setakat ini. Kenapa ia dilengah-lengahkan?” soal mereka.
Katanya, meskipun dikatakan 17 pakar terlibat merawat Anwar, namun Jeyaindran masih merupakan individu yang bertanggungjawab mengetuai panel tersebut.
Mereka sekali lagi membangkitkan keraguan kerana Jeyaindran merupakan saksi pendakwaan yang terlibat dalam perbicaraan kes Fitnah 2 membabitkan Anwar.
Namun, katanya, Menteri yang bertanggungjawab sekali lagi melantik Jeyaindran untuk memeriksa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Jeyaindran juga doktor yang sama merawatnya di penjara pada 2003 ketika Anwar mengalami sakit belakang. Namun, Anwar hanya diterbangkan untuk menjalani pembedahan di Munich, Jerman apabila dibebaskan pada September 2004. - Keadilan Daily.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget